Rencana

Lelaki dan wanita, sama setara di mata Tuhan

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasanya) sedikitpun. (Sura An-Nisa 124)

Hari Wanita disambut setiap tahun semenjak 1962 untuk mengingatkan seluruh dunia tentang masalah ketidakseimbangan di antara kaum lelaki dan wanita.

Walaupun negara kita telah pun mencapai kemerdekaan selama 59 tahun, hanya 54.1% dari golongan wanita dalam negara ini yang sedang berkerja. Manakala peratusan di golongan lelaki adalah 80.6%.

Dari segi pembayaran gaji, lelaki menerima 8.4% lebih daripada wanita untuk pekerjaan dan tugas yang sama.

Ketidakseimbangan sebanyak 26.5% dalam tenaga buruh dan 8.4% dalam pembayaran gaji adalah gejala-gejala yang menunjukkan bahawa peluang perkerjaan, sumber pendapatan, dan juga kondisi di tempat kerja adalah tidak saksama di antara lelaki dan perempuan.

Semangat untuk memperbaiki keadaan ini amat lembab. Usaha untuk meningkatkan tenaga buruh wanita masih berkurangan. Pemimpin-pemimpin negara secara keseluruhannya tidak mengamal prinsip kesamarataan seperti di syurga.

Walaupun begitu, Parti Bertindak Demokratik (DAP) tidak sama sekali putus asa dalam mengatasi masalah ini. Jawatankuasa Tertinggi Pusat parti telah menetapkan 30% kuota untuk wanita bagi jawatan-jawatan permilihan.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng maklumkan kepada seluruh Malaysia dalam ucapan beliau bahawa “wanita adalah rakan kongsi yang setara dalam perjuangan dan parti ini komited untuk memperjuangkan kesetaraan gender.”

Selain daripada itu, pemimpin-peminpin DAP di Pulau Pinang juga telah menubuhkan Penang Women’s Development Corporation sebagai badan untuk pembinaan kapasiti wanita dalam negeri, menginstitusikan Gender Responsive Participatory Budgeting dan mengarusperdanakan isu gender dalam pentadbiran dan pengurusan pihak berkuasa tempatan.

DAP bermatlamat untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan sifat-sifat di syurga.

“Wanita Pemancu Perubahan” merupakan tema sambutan Hari Wanita peringkat negeri Pulau Pinang pada tahun ini. Wanita sendiri perlu mengilhamkan inspirasi untuk transformasi perubahan sepertimana yang diperjuangkan oleh DAP.

8 Mac membawa pengingatan bahawa wanita mempunyai peranan yang sangat ketara dalam membentuk masa depan keluarga sekaligus masa depan negara. Hari ini adalah tanda pengiktirafan terhadap sumbangan, komitmen, dan pencapaian wanita sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara.

Seorang wanita yang berjaya harus lebih kuat dan berdedikasi serta mampu menjadi penggerak dan pemacu kepada sesuatu yang diceburinya. Wanita masa kini perlu lebih bersemangat bangun untuk membina keyakinan diri bagi berhadapan dengan cabaran-cabaran masa depan.

Kejayaan wanita dalam pengurusan keluarga mahupun pekerjaan tidak terletak hanya semata-mata pada usaha individu, tetapi juga melibatkan pimpinan dan dasar urus tadbir yang memberikan kesetaraan, seperti kesetaraan manusia di mata Tuhan.

*Siti Nur Shazreen Mohd Jilani ialah pegawai seranta Ahli Parlimen Bukit Mertajam.