Berita

Penglibatan wanita dalam politik perlu ditingkatkan – Yeo Bee Yin

PETALING JAYA, 8 MAC: Meningkatkan lagi penglibatan wanita di peringkat pembuat dasar di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) harus menjadi langkah terpenting kerajaan dalam usaha merapatkan jurang dan mewujudkan kesaksamaan antara gender di negara ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Yeo Bee Yin berkata, bilangan wanita yang terlibat sebagai wakil dalam politik tidak mencatatkan peningkatan sejak sedekad lalu meskipun golongan itu menjadi pengundi teramai pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lepas.

Katanya, hanya Dewan Negeri Selangor mempunyai 27 peratus Adun wanita, manakala di Parlimen dan DUN yang lain peratusan pembabitan golongan itu adalah rendah iaitu antara kosong dan 16 peratus.

“Walaupun peranan wanita dalam politik sudah mula dilihat dalam beberapa tahun lepas dengan pelantikan Speaker Dewan Negeri, Hannah Yeoh pasca PRU-13, hakikatnya jalan untuk menuju ke arah itu masih panjang dan berliku,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Bee Yin yang juga Adun Damansara Utama, menggesa semua parti berusaha menarik lebih banyak penglibatan kaum wanita dalam politik dengan memecahkan tembok struktur dan budaya yang sejak dulu menghalang penyertaan aktif golongan itu.

“Kita perlukan lebih lagi kaum wanita, yang bersedia untuk memecah tradisi streotaip mengenai peranan wanita dalam masyarakat, untuk terlibat dalam politik,” katanya.

Katanya, kesaksamaan gender tidak hanya tertumpu terhadap hak kaum wanita semata-mata, sebaliknya ia membawa faedah secara keseluruhan kepada sesebuah negara.

Pentingnya kesaksamaan gender

Berdasarkan Laporan Indeks Jurang Gender Global 2016 yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia berada di kedudukan 106 daripada 144 negara, jauh ditinggalkan negara jiran rantau asia tenggara; Indonesia (88), Vietnam (65), Thailand (71) dan Brunei (103).

“Memetik kata Ban Ki- Mon, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB): Dunia tidak akan mencapai 100 peratus matlamatnya sekiranya 50 peratus warganya tidak sedar akan potensi mereka sendiri.

“Laporan WEF itu menunjukkan perkaitan positif antara kesaksamaan gender dalam hubungannya dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita, Indeks Daya Saing Global dan Indeks Pembangunan Manusia,” ujar Bee Yin.

Dalam kata lain, ujarnya, negara yang mengamalkan kesaksamaan gender selalunya lebih berdaya saing, makmur dan lebih selesa untuk diduduki.

“Perkembangan itu menunjukkan konsistensi dengan peningkatan bukti bahawa pemerkasaan wanita menjadikan sumber manusia sesebuah negara itu dapat digunakan secara efisyen.

“Malah dengan langkah merapatkan jurang gender itu juga mampu membantu sesebuah negara mempertingkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonominya,” katanya. – Roketkini.