Berita

Tindakan terhadap aktivis UM jelas langgar kebebasan bersuara pelajar – DAP

KUALA LUMPUR, 8 MAC: DAP mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan terbaru Universiti Malaya (UM) mengenakan amaran dan denda sebanyak RM300 terhadap seorang pemimpin pelajar institusi awam itu ekoran memprotes isu skandal 1MDB tahun lalu.

Bekas Presiden Persatuan Untuk Belia Baru UM (UMANY), Ho Chi Yang dikenakan hukuman itu semalam susulan tindakannya menaikkan plakad ‘protes 1MDB’ dalam satu program anjuran UM yang menampilkan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak universiti yang jelas menyalahgunakan kuasa dan mengekang kebebasan akademik terutamanya dalam menganjurkan ‘sesi cuci otak’ 1MDB,” kata wakil DAP dan sayap pemudanya DAPSY dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangi oleh Penolong Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Pengarah Hal-Ehwal Varsiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Leong Yu Sheng.

Leong Yu Sheng, Pengarah Hal-Ehwal Varsiti DAPSY

Selain hukuman terhadap Chi Yang, prosiding terhadap tiga pelajar lain yang berdepan tuduhan sama telah ditunda UM ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Kenyataan itu berkata, tindakan UM berkenaan adalah menzalimi hak kebebasan bersuara  keempat-empat pelajar berkenaan seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, kami menuntut campur tangan kabinet untuk mengarahkan pihak UM untuk menghentikan segala tindakan prosiding terhadap pelajar yang lantang bersuara menentang skandal 1MDB.

“DAP akan mempertahankan kesemua pelajar yang dizalimi, khususnya kebebasan bersuara keempat-empat pemimpin UMANY tersebut,” ujarnya.

Selain pemimpin pelajar UMANY tersebut, kenyataan itu turut mengutuk tindakan beberapa institusi awam menghukum pelajar mereka ekoran terbabit dalam perhimpunan aman “Tangkap MO1” pada Disember tahun lalu.

Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, dan Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali telah digantung pengajian mereka selama satu semester dan didenda sebanyak RM400.00 oleh UM ekoran penganjuran perhimpunan itu, manakala Suhail Wan Azahar hanya dikenakan denda.

Pemimpin pelajar, Asheeq Ali yang turut terlibat menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah digantung pengajian selama satu semester dan didenda sebanyak RM200.00 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menghantar surat prosiding kepada aktivis pelajar, Ahmad Ariffin berikutan penglibatannya dalam perhimpunan “Tangkap MO1” dan Bersih.

Pemimpin Suara Mahasiswa, Mukmin Nantang dan Aqilah Zainuri pula dikenakan hukuman oleh pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) ekoran penglibatan mereka dalam perhimpunan Bersih tahun lalu.

“DAP menyeru kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) supaya tidak lagi menzalimi pelajar dengan undang-undang rimba seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Kerajaan sebaliknya harus menghormati hak kebebasan bersuara setiap warganegara Malaysia khususnya pelajar yang merupakan pewaris negara pada masa hadapan,” ujar kenyataan itu lagi. – Roketkini.com