Berita

Wanita DAP buat laporan polis ekoran fitnah libatkan isu khutbah JAKIM

GEORGETOWN, 8 MAC: Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid semalam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dekat sini berhubung kemas kini status di laman sosial yang memfitnah beliau.

Status yang dimuatnaik oleh laman Facebook, Darul Ehsan Leaks itu menggambarkan kononnya beliau bersumpah mahu ‘menyerang institusi Islam seperti JAKIM kerana DAP’.

Pun begitu, status itu telah diturunkan selepas Syerleena membuat laporan polis – membuktikan bahawa ia sememangnya satu fitnah.

Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid menunjukkan laporan polisnya dan imej fitnah Darul Ehsan Leaks

Beliau ketika dihubungi Roketkini berkata beliau percaya posting itu dibuat selepas kenyataan terbarunya yang menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menyalahgunakan kuasa mereka.

“Sebagai agensi yang mewakili Islam, JAKIM patut menyebar ajaran yang penuh dengan nilai-nilai murni, positif dan bukannya politik kebencian.

“Apa salahnya jika menyebut tentang hal-hal yang memberi inspirasi dan buat orang sayang kepada Islam,” jelasnya.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu sebelum ini mengulas teks khutbah Jumaat yang disediakan JAKIM yang mendakwa kononnya perjuangan hak wanita adalah kerana terpengaruh dengan propaganda memburukkan Islam.

Bagaimanapun, tidak ada satu patah pun dalam kenyataannya yang menunjukkan Syerleena mahu menyerang institusi Islam seperti yang dinyatakan fitnah itu.

“DAP selalu diserang dan dikecam. Malaysia tidak boleh maju jika budaya fitnah menjadi sebati dalam masyarakat kita,” tegas Syerleena. – Roketkini.com