Berita

Akta SPRM harus dipinda, beri kuasa siasat pegawai kerajaan hidup mewah

KULAI, 9 DIS: Akta melibatkan rasuah di negara ini harus dipinda dengan memberi lebih banyak kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran gejala rasuah yang semakin bermaharajalela di kalangan pegawai kerajaan.

Ia termasuklah kuasa untuk menyiasat semua pegawai kerajaan yang mempunyai gaya hidup mewah serta jumlah harta mencurigakan, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching.

Menurutnya, Akta SPRM 2009 sedia ada hanya memperuntukkan kuasa kepada agensi itu untuk menyiasat setelah seorang individu melakukan perbuatan yang menimbulkan keraguan.

“Ia berbeza dengan akta di Hong Kong yang memperuntukkan mana-mana pegawai dengan gaya hidup mewah harus memberi penjelasan di mahkamah.

“Menjadi kaya bukanlah satu dosa. Tetapi sebagai pegawai kerajaan, penting untuk mereka mempraktikkan ketelusan supaya rakyat yakin ahli politik tak menyalahgunakan kuasa bagi mengumpul harta peribadi,” ujar Nie Ching.

Ahli Parlimen Kulai itu mengulas laporan terbaru SPRM yang menunjukkan 54 peratus dari 2,329 penahanan membabitkan rasuah adalah berumur 40 tahun dan ke bawah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus terdiri daripada pegawai kerajaan.

“Kita ada kes melibatkan pegawai muda kerajaan dan kerani yang mampu membeli model iPhone terbaru dan memandu kereta mewah. Ia tidak sepadan dengan gaji yang diterima mereka,” kata Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Jamil.

Nie Ching menambah, situasi itu bukan sahaja melibatkan pegawai muda kerajaan, tetapi juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya sendiri.

“Perdana Menteri turut mempunyai gaya hidup mewah yang tidak sepadan dengan gaji yang diterimanya.

“Tapi, jika tidak ada apa yang mencurigakan dengan jumlah harta beliau, Najib dan menteri-menteri kabinet tentu tidak ada masalah untuk menyokong cadangan pindaan Akta SPRM ini.

“Adakah mereka sanggup menyokong bagi membendung gejala rasuah di negara kita?” soalnya. – Roketkini.com