Berita

Kenapa pintu masuk negara boleh bolos dengan pasport palsu?

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Pembunuhan Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Februari lalu telah banyak menimbulkan persoalan berhubung kawalan imigresen terhadap pintu masuk negara.

Apa yang mengejutkan, kemasukan Kim Jong-Nam ke Malaysia menimbulkan tanda tanya apabila didapati menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.

“Adakah kedua-dua suspek juga memasuki negara ini dengan menggunakan pasport palsu di mana salah seorang daripada mereka menggunakan nama Doan Thi Huong? Jika ya, mengapakah pihak imigresen tidak dapat mengesan perbuatan tersebut?” kata kenyataan bersama Pakatan Harapan hari ini.

Kenyataan bersama ini ditandatangani oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mewakili DAP, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin mewakili Amanah dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail mewakili PKR.

Menurut mereka, kelemahan kawalan keselamatan di KLIA ini membangkitkan persoalan orang awam mengenai keupayaan pihak keselamatan negara ini untuk bertindak pantas jika berlaku ancaman atau serangan pengganas di lapangan terbang.

Justeru, kerajaan juga diminta supaya mendedahkan statistik pendatang asing yang menggunakan pasport palsu.

“Jika pihak keselamatan memerlukan masa sehingga tiga hari untuk mengenalpasti identiti mayat Kim Jong-Nam, adakah rakyat akan yakin mengenai keberkesanan sistem pengimbasan identiti di lapangan terbang negara kita?” soal mereka.

Soalan ini diajukan berdasarkan insiden dua warga Iran yang berjaya menaiki pesawat menggunakan pasport curi tanpa dikesan oleh pihak berkuasa ketika kejadian MH370 pada tahun 2014 lalu.

Kerajaan juga dipersoal sama ada telah membuat klarifikasi dengan Kerajaan Korea Utara terhadap insiden yang berlaku, sebelum menghantar pulang jasad Kim Jong-Nam ke negara asal.

“Sekiranya pihak Korea Utara disahkan terlibat dalam insiden ini, adakah Zahid Hamidi akan meminta Kerajaan Korea Utara menjelaskan penglibatan mereka dan memohon maaf kepada Malaysia kerana melibatkan negara kita ke dalam konflik dalaman negara tersebut? “ soal mereka lagi. – Roketkini.com