Rencana

Rasuah jadi amalan, anak muda harus jauhi Pemuda UMNO

Kita menyambut baik inisiatif Menteri Besar Johor yang melakukan rombakan EXCO negeri seperti yang telah kami cadangkan. Sungguhpun ada beberapa isu yang belum jelas, tetapi saya ingin memberi masa agar EXCO yang diganti dapat membuat langkah perubahan.

Namun demikian, rombakan ini saya rasakan belum cukup lengkap. Ia harus disertai dengan rombakan sistem dan dasar dalaman institusi yang telah tercemar dengan aktiviti rasuah. Pakej rombakan ini perlu ada memandangkan skandal ini melibatkan sistem dan pemantauan yang lemah, dan ianya berlaku dalam tempoh yang agak lama.

Selain daripada membawa masuk juruaudit bebas untuk mengaudit kembali semua hal-hal yang berkaitan, saya sekali lagi mengulangi desakan agar kerajaan negeri segera melaksanakan dasar Tempoh Khidmat Terhad ke atas pegawai di unit-unit sensitif yang melibatkan tender dan kewangan.

Ini bertujuan untuk mengekang mana-mana pegawai untuk melakukan aktiviti korupsi atau salah guna kuasa. Ia juga adalah kaedah paling praktikal agar kerajaan dapat menjauhkan para pegawai dari sasaran mana-mana pihak yang berpotensi untuk melakukan rasuah.

Kita tidak boleh membiarkan pegawai kita terdedah dengan kegiatan rasuah oleh mana-mana pihak yang mudah memanipulasi dan memperalatkan mereka.

Dasar ini bukan sahaja menjadi amalan Jabatan Perkhidmatan Awam, malah banyak negara telah lama mengamalkannya. Ia terbukti berkesan dalam mengawal kegiatan rasuah di dalam jabatan atau institusi.

Pemuda UMNO…

Berhubung dengan tangkapan Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan beberapa orang lagi rakan mereka berkaitan siasatan skandal hartanah ini, saya berharap siasatan ke atas mereka dapat berjalan dengan lancar.

Saya merasa cukup bimbang dengan perkembangan terbaru ini apabila jelas sekali bahawa skandal hartanah ini meluas skalanya, malah ia beroperasi seperti sindiket yang dilakukan secara terancang dengan melibatkan banyak pihak, parti dan kerajaan negeri.

Justeru, saya menyeru kepada semua anak muda untuk menjauhkan diri dari Pemuda UMNO yang kini bukan lagi dilihat bersih dan beridealisme tinggi. Saya berdoa agar anak-anak muda kita tidak lagi menjadikan Pemuda UMNO sebagai model contoh mereka.

Sebaliknya, anak muda harus berani berdikari untuk mencari ikhtiar hidup dalam suasana ekonomi yang malap ini. Kita jangan malu untuk berusaha sebaliknya kita harus malu dengan tabiat mengambil jalan singkat untuk hidup senang dan mewah.

Saya menjemput anak-anak muda di seluruh negeri Johor untuk menyertai parti DAP kerana DAP sentiasa terbuka menawarkan ruang bagi anak muda berkreativiti dan berekspresi dalam politik. DAP telah terbukti memberi ruang yang luas kepada anak muda, bandar atau luar bandar untuk bergiat aktif dengan politik yang sihat dan matang, jauh dari retorik idealisme seperti Pemuda UMNO. Contoh telah ada di depan mata anda.

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor