Berita

Autonomi: Kenapa SAPP tidak setuju hak Sabah dikembalikan?

KOTA KINABALU, 10 MAC: Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Melanie Chia yang mempersoalkan tawaran DAP berhubung autonomi Sabah dan Sarawak.

Pemimpin SAPP itu dilaporkan media mendakwa, pemulangan semula 50 peratus cukai kepada negeri seperti yang dinyatakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini adalah tidak berperlembagaan.

Sedangkan tegas Phoong, tawaran yang merupakan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak itu merupakan jaminan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang masih belum ditunaikan kerajaan persekutuan dengan pengembalian cukai 40 peratus.

“Saya berasa amat hairan kenapa SAPP berterusan menyerang usaha DAP dan bukannya bekerjasama untuk mencapai matlamat, ketepikan perbezaan politik demi rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Phoong, dalam kerangka ‘Federalisme Baru’, kerajaan persekutuan akan menjamin pengagihan sumber dan peluang yang adil kepada negeri-negeri dan boleh dilihat seperti yang dipraktikkan di Australia dan Amerika Syarikat.

“Ini bermakna status Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia adalah setara dan bukannya menjadi “tanah jajahan MalayA” seperti dakwaan Chia,” kata Phoong.

Beliau menegaskan, reformasi kepada sistem sedia ada amat diperlukan demi mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak yang mana telah diperjuangkan DAP selama ini.

“Kita jangan lupa bahawa wakil rakyat DAP Chan Foong Hin pernah menghantar memorandum kepada kerajaan Sabah berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Usul untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak sejajar Perjanjian Malaysia 1963 juga pernah dibangkitkan di Parlimen oleh Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt yang juga Ahli Parlimen Sandakan.

Dalam perkara berkaitan, beliau menegaskan selain menjadi parti di peringkat kebangsaan, DAP juga adalah parti tempatan yang berjuang demi kepentingan rakyat Sabah.

“Di peringkat persekutuan, DAP akan menjadi pendesak kepada reformasi peringkat persekutuan untuk mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak.

“Di peringkat negeri pula, DAP Sabah akan sentiasa menjuarai isu-isu tempatan dan ia telahpun terbukti sejak DAP bertapak di Sabah pada 1978,” ujarnya.

Menjawab persoalan terhadap pendirian komponen Pakatan Harapan terhadap tawaran autonomi DAP itu pula, Phoong berpandangan bahawa DAP wajar mengetengahkan perkara tersebut.

“Pastinya kerangka dasar bersama akan dibawa untuk dibincangakan dengan komponen lain, begitu juga dengan manifesto.

Phoong dalam masa yang sama tidak bersetuju dengan Chia yang menempelak cadangan utuk memberikan 20 peratus royalti minyak dan 50 peratus pengembalian cukai bagi autonomi pendidikan dan kesihatan.

Ini kerana katanya, pentadbiran pendidikan dan kesihatan yang diuruskan negeri akan lebih memiliki orientasi budaya tempatan. –Roketkini.com