Berita

Bantah usul Hadi, adakah Ketua Menteri Sarawak anti-Islam?

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan semua ahli parlimen BN negeri itu untuk membantah usul pindaan mahkamah syariah (RUU355) yang dikemukakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Adakah ia bermakna Abang Johari dan semua ahli parlimen BN Sarawak anti-Islam, soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf semalam membuat tuduhan itu ke atas DAP kerana membantah usul Hadi dan mahu mengekalkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang sedia ada.

Sedangkan, menurut Kit Siang, bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sebelum ini juga turut membantah usul itu dan menggesa semua ahli parlimen BN Sarawak untuk menolaknya.

“Saya ingin tanya Asyraf. Adakah dia benar-benar menganggap siapa yang membantah usul persendirian Hadi itu sebagai anti-Islam?

“Jika begitu, adakah dia turut menuduh Presiden PBB Datuk Abang Johari Openg dan empat menteri PBB beragama Islam yang lainnya sebagai anti-Islam?

“Atau adakah Asyraf akhirnya mengakui bahawa mana-mana Muslim atau bukan Muslim boleh membantah usul Hadi tanpa menjadi anti-Islam?” soalnya.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Asyraf telah tersilap faham kenyataannya dua hari lalu yang meminta pemimpin MCA, Gerakan dan MIC meletak jawatan jika pemimpin UMNO mengutamakan usul Hadi di sidang parlimen.

“Saya tidak menyatakan (dua hari lalu) tentang kebaikan atau keburukan usul Hadi itu. Tetapi tentang sama ada BN telah berubah karakter – dari sebuah gabungan dengan prinsip konsensus kepada satu kumpulan yang hanya mengikut kemahuan dan telunjuk UMNO.

“Berbeza dengan hari ini, lima perdana menteri sebelum ini pasti tidak akan mengutamakan hal yang tidak mendapat persetujuan rakan-rakan BN yang lain,” ujarnya. – Roketkini.com