Rencana

Jangan hanya sembang kencang, daftarlah sebagai pengundi

Ketidaktentuan harga petrol dan belanja dapur yang bila-bila masa boleh naik mendadak buatkan kita resah. Tekanan itu lebih jelas terasa bila teh tarik yang kita minum hari-hari nanti naik 10 sen atau 20 sen. Kegelisahan kita ini amat signifikan dengan apa yang kita hadapi sekarang.

Kenaikan harga teh tarik sekadar indikasi kepada kemelut ekonomi yang lebih besar. Namun, semua itu tidak bererti bagi kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang terus selesa amalkan ‘dasar’ kleptokrasi mereka. Yang ditangkap dua tiga kerat pegawai rasuah, tapi bapa rasuahnya masih berkeliaran.

Kejatuhan nilai ringgit, skandal 1MDB, jual tanah kepada syarikat China, skandal FELDA, Tabung Haji, isu KWSP, rasuah tanah Johor, skandal Jabatan Air Sabah, kenaikan harga bahan api, pengurusan konflik Malaysia-Korea Utara, percambahan puak fanatik agama dan bangsa, peningkatan inflasi, kemiskinan, pencerobohan sempadan negara, peningkatan bilangan pesakit mental; semua ini berkait rapat dengan kegagalan pengurusan kerajaan.

Apapun, kita nampaknya semakin berani menyuarakan segala resah gelisah ekonomi politik ini secara terbuka dalam media sosial seperti Facebook, Twitter dan mengirimkan luahan perasaan di group-group Whatsapp dengan aneka emoji mengejek dan sinis. Kita marah tapi terpaksa pasrah sebab kita rasa kita tidak mampu buat apa-apa

Apa jua cemuhan itu tidak sedikitpun merencatkan amalan rasuah BN. Mereka masih berkuasa tatkala setiap hari kita keluarkan sen untuk bayar cukai, berkorban masa, perah tenaga dan otak untuk bayar sewa rumah, kereta, hantaran kahwin, bil internet, hutang kad kredit, GST dan seumpamanya. Rintihan kita terhadap kemelut ini akan sia-sia tanpa penyertaan kita dalam salah satu proses demokrasi iaitu mengundi.

Setakat bulan Februari 2017 lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan seramai 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Sudah tentu, jumlah 4.1 juta ini bukan sedikit dan ianya boleh menjadi penyelamat kepada keadaan haru-biru politik dan ekonomi negara. Dan sekiranya pengundian dibuat pada bulan Julai atau September, tarikh akhir pendaftaran sebagai pengundian ialah hujung Mac ini.

“Sembang kencang, tapi tak daftar mengundi buat apa?” itu kata kawan saya.

Ayuh daftarlah sebagai pengundi di mana-mana pejabat pos dan jadilah agen perubahan untuk selamatkan Malaysia! – Roketkini.com