Berita

Ramai ilmuan dan pemimpin Islam juga kritis terhadap usul Hadi

SUBANG JAYA, 10 MAC: Usul persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melibatkan pindaan akta mahkamah syariah turut dibahas secara kritikal oleh ilmuan dan pemimpin Islam negara ini.

Justeru, tindakan menteri UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi memangsakan DAP dengan mendakwa parti itu sebagai anti-Islam adalah berniat jahat dan mengelirukan orang awam, kata Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP Subang, Farhan Haziq.

Menurutnya, usul Hadi itu dibahas secara kritis oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin, panel transformasi undang-undang Islam, Nurul Haq Shahrir, selain pertubuhan lain seperti Majlis Perundingan Melayu dan Gerakan BEBAS.

Malah, ia ditentang kuat sekutu UMNO di Sarawak apabila Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengarahkan semua ahli parlimen BN negeri itu membantah cadangan tersebut.

“Lebih malang, sehingga ke hari ini, beliau (Asyraf) tidak pun menegur pimpinan BN yang sejak dari awal menolak RUU355. Adakah ketidakfahaman komponen parti BN juga salah DAP?” soalnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berpendapat, tohmahan melulu menteri UMNO itu terhadap DAP hanya mencerminkan sebuah tindakan mempergunakan agama untuk kepentingan politiknya.

“Saya terperanjat kerana jika pun tidak bersetuju dengan DAP, apakah wajar bagi beliau menfitnah sebegitu rupa? Adakah beliau juga seperti mana sesetengah usahawan yang menjual nama Islam untuk melariskan produk masing-masing?” soalnya

Semalam, Asyraf seperti laporan media menyebut, kenyataan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang mahu pemimpin BN menentang usul Hadi itu sebagai berniat jahat dan menggambarkan DAP ‘menzahirkan tindakan anti-Islam’.

Bagaimanapun, tindakan itu menggambarkan seolah-olah menteri berkenaan gagal memahami konsep demokrasi berparlimen.

“Setiap wakil rakyat termasuk DAP mempunyai tanggungjawab untuk menganalisis, membahas dan membincangkan setiap rang undang-undang yang akan dibawa ke Parlimen.

“Beliau tidak boleh memaksa, melabel atau mengherdik sesiapa yang tidak bersetuju dengan RUU355 dengan label anti Islam,” tegas Farhan, sambil menekankan bahawa DAP adalah parti berbilang kaum dan bukan hanya bersuara untuk satu kumpulan masyarakat sahaja.

“Saya nasihatkan beliau berhentilah menunggang agama dengan memfitnah DAP. Yang jahat adalah mereka yang merasakan mereka paling Muslim dan yang lainnya tidak cukup mulia seperti mereka.

“Saya menasihati beliau sebagai saudara seagama agar tidak menggunakan Islam sebagai modal politik untuk mendaki tangga UMNO. Cukup-cukuplah menabur benih fitnah kepada DAP dan berlaku adillah dalam menghadapi perbezaan pendapat dalam isu RUU355 ini,” katanya lagi. –Roketkini.com