Berita

Sudahlah bajet pendidikan dipotong, sekarang mahu kenakan GST pula?

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Sektor pendidikan tidak wajar dilibatkan dalam dasar membebankan kerajaan UMNO-Barisan Nasional seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching.

Menurutnya, tindakan kerajaan yang tetap melaksanakan cukai itu ke atas salah satu aspek terpenting dalam pembangunan institusi awam negara seperti geran penyelidikan adalah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mengendahkan kepentingan pendidikan negara.

“Kita mahu mempertingkatkan kedudukan universiti awam kita, tapi bajet untuk pengajian tinggi dipotong, dan sekarang kerajaan laksanakan pula GST ke atas geran penyelidikan.

“Walaupun kerajaan mungkin berhak untuk mengutip GST daripada sebahagian perkara dalam geran penyelidikan, tetapi kerajaan harus sedar bahawa ia akan turut menjejaskan kualiti penyelidikan itu sendiri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kulai kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan The Malay Mail Online hari ini berhubung pelaksanaan GST ke atas geran penyelidikan bermula Ogos 2016 selepas diputuskan Kementerian Kewangan tahun lalu.

Portal berita atas talian itu turut melaporkan rungutan beberapa penyelidik antaranya Dekan Perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Professor Dr. Adeeba Kamarulzaman.

Adeeba dipetik portal berkenaan sebagai berkata: “Ia (GST) menambah lagi kos untuk menjalankan penyelidikan dalam suasana yang sudah sedia ada sukar”.

Dalam bajet tahun ini, kerajaan telah memotong 19 peratus atau RM1.5 bilion bajet keseluruhan universiti awam di negara ini, dengan 10 daripada universiti berkenaan dikenakan pemotongan bajet sebanyak 10 hingga 31 peratus. – Roketkini.com