Berita

Bila masa pula Teresa ganggu majlis kahwin? Ini kisah sebenar…

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Dakwaan kononnya Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mengganggu sebuah majlis perkahwinan di Taman Danau Desa pada Sabtu lalu adalah fitnah dan pembohongan nyata untuk mengelirukan orang awam.

Ini kerana sidang media tersebut diadakan pada sebelah pagi di Jalan 3/109F dan berjauhan dari kawasan pintu masuk utama Pusat Khidmat Masyarakat Seputeh tempat majlis tersebut diadakan.

“Memandangkan terdapatnya laporan media dan juga kenyataan Tengku Adnan yang menuduh saya mengganggu majlis perkahwinan yang diadakan dalam Bangunan UMNO, di sini saya tunjukkan satu gambar foto sidang akhbar pada hari itu untuk menunjukkan tuduhan palsu mereka,” jelas Teresa dalam kemaskini lama facebook beliau.

Isu ini tercetus apabila beliau bersama kumpulan penduduk Taman Desa dan media yang mengadakan sidang akhbar itu didatangi seorang lelaki berbaju biru yang muncul dengan tiba-tiba.

Dalam sebuah rakaman video yang tular di media sosial, lelaki itu mahu supaya sidang media itu dihentikan kerana ia dilakukan ‘di kawasan UMNO’ dan mendakwa kononnya mengganggu majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, video kejadian yang tidak ada kena mengena dengan majlis perkahwinan itu cuba dimanipulasi pihak tertentu untuk memburukkan imej DAP.

Disebalik ‘kekecohan’ itu, tidak ramai yang tahu isu sebenar di sebalik dakwaan jahat kononnya beliau mengganggu majlis perkahwinan tersebut.

Tujuan sidang akhbar itu adalah untuk membantah DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor yang mahu menukar status  kegunaan tanah yang menempatkan pusat khidmat masyarakat Seputeh itu yang juga pejabat UMNO Seputeh kepada perumahan yang berpadatan tinggi.

“Kami mengadakan sidang akhbar di sebelah jalan yang berhadapan tapi agak jauh daripada Bangunan UMNO Seputeh, tiba-tiba seorang lelaki berbaju biru keluar mengganggu sidang akhbar kami.

Kami membantah cara menteri dan DBKL yang mengenepikan Pelan Deraf Kuala Lumpur,” jelasnya dalam kemas kini Facebook beliau.

Selain gangguan lelaki berbaju biru tersebut, kumpulan penduduk itu juga turut didatangi oleh dua orang wanita dengan dakwaan yang serupa.

“Tindakan mereka memang nak kacau sidang akhbar saya kerana tempat kami buat sidang akhbar memang jauh daripada pintu masuk dan bangunan UMNO Seputeh,” jelas Teresa. –Roketkini.com