Berita

Hak Melayu, Bumiputera terbela jika Pakatan Harapan-Bersatu menang pilihan raya

MUAR, 13 MAC: Orang Melayu dan Islam akan tetap menerajui negara sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut menegaskan bahawa hak pendidikan dan peluang ekonomi orang Melayu malah seluruh rakyat Malaysia tetap terpelihara dan dipertingkatkan jika Pakatan Harapan-Bersatu diberi mandat memerintah negara.

“Jika UMNO kalah dalam PRU-14 dan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah bersama-sama Bersatu membentuk kerajaan baru, kami mahu membuktikan bahawa kami mampu melakukan lebih baik untuk orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.

“Kami mahu mengatasi rekod 60 tahun UMNO dengan melakukan lebih banyak usaha untuk meningkatkan lagi kedudukan ekonomi dan pendidikan orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, rakyat mempunyai hak untuk menolak Pakatan Harapan-Bersatu jika terbukti gagal menunaikan janji berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Pakatan Harapan-Bersatu tidak akan sesekali mempersia-siakan peluang yang ada dan akan terus bekerja untuk rakyat Malaysia.

“Kemungkinan untuk orang Melayu ditindas dan dipinggarkan tidak wujud langsung, kami sebagai kerajaan yang akan mengantikan kerajaan UMNO-BN mahu untuk terus dipilih semula ke Putrajaya dan bukan berkhidmat untuk sepenggal sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa hak pendidikan dan peluang ekonomi orang Melayu dan Bumiputera akan hilang jika Pakatan Harapan menang PRU. – Roketkini.com