Berita

Menteri UMNO jangan putar belit, bila masa 1MDB dibahas di Parlimen?

KUALA LUMPUR, 13 MAC: DAP menempelak kenyataan seorang menteri UMNO kononnya isu skandal 1MDB telah dibincangkan secara meluas di Parlimen.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berasa hairan bagaimana mungkin menteri tersebut berkata begitu sedangkan Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan sebarang soalan diajukan berhubung siasatan terhadap 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Dalam masa yang sama, Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) yang baru, Datuk Hasan Arifin membuat pembetulan terhadap laporan PAC (berhubung 1MDB) tanpa merujuk ahli-ahli PAC dan enggan menyiasat perkaitan antara skandal itu dan perdana menteri.

“Lebih teruk lagi, jika semua soalan 1MDB didakwa sudah dijawab secara keseluruhannya, mengapa Kabinet meletakkan laporan Ketua Audit Negara (berhubung 1MDB) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani seperti dilaporkan media semalam mendakwa bahawa skandal melibatkan 1MDB telah dibincangkan secara meluas di Parlimen.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan lain menegaskan bahawa Parlimen Malaysia tidak pernah sekali pun membenarkan persoalan mengenai 1MDB dibangkitkan dalam persidangan dewan.

“Laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB telah diklasifikasikan di bawah OSA malah semua anggota Parlimen, kecuali ahli PAC, tidak dibenarkan membaca laporan berkenaan.

“Tambahan pula, cadangan PAC berdasarkan prosedur siasatan terhadap skandal 1MDB telah diabaikan sepanjang tahun – dan pengerusi PAC sendiri tidak berani untuk membangkitkan perkara itu. Mengapa?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Dalam persidangan Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu, Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak membenarkan sebarang persoalan mengenai 1MDB dibangkitkan di Parlimen atas alasan subjudis dan tidak mahu menggangu siasatan DOJ.

Ia membangkitkan kemarahan pihak pembangkang yang menuntut jawapan mengenai skandal syarikat pelaburan milik negara itu. – Roketkini.com