Rencana

Merungkai nasib bangsa dalam mimpi siang wawasan 2050 Najib

Belum pun Transformasi Nasional 2050 atau singkatannya TN50 bermula, ia yang dijadualkan bertitik tolak seawal abad 22, sudah dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai destinasi yang mengiurkan – dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia antara “20 negara teratas dalam pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi”.

Ada pihak yang menanggapi idea ‘bernas lagi berdaya maju’ Najib Razak itu sebagai kegagalan beliau untuk merealisasikan Wawasan 2020 hasil cetusan mantan perdana menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad 16 tahun lalu.

Tetapi masih ramai tidak sedar akan candu eskapisme bernama TN50 yang cuba disumbat ke mulut rakyat terbanyak. Bermula dengan visi yang berpuluh tahun jaraknya untuk digapai dengan janji dan impian yang muluk-muluk.

Sedang kita leka membayangkan kereta terbang di udara seperti yang tergambar dalam filem sains fiksyen, UMNO, sebagai parti yang dipertanggungjawabkan untuk memacu harapan itu, menularkan barah di setiap institusi negara.

Bagai nanah, ia menanti untuk meletus, atau diletuskan!

Ia boleh dilihat dengan institusi Bumiputera seperti FELDA, yang digagalkan UMNO sehingga saham yang dahulunya pernah dibanggakan mencecah RM5.50 seunit akhirnya menjunam ke paras RM1.80 seunit, hanya lima tahun selepas ia diniagakan di Bursa Saham Malaysia pada 2012.

Tidak cukup dengan kegagalan domestik, UMNO mengorak lagi selangkah ke hadapan, menempa nama Malaysia sebagai ‘kleptokrasi global’ di peringkat antarabangsa. Ia bermula dengan harapan bahawa penubuhan 1MDB yang bermodalkan RM1.00 bakal membawa faedah kepada rakyat dan disusuli dengan pinjaman berbilion ringgit yang akhirnya terpaksa ditanggung anak dan cucu cicit kita.

Malah, tidak terhenti dalam bidang korporat, budaya gagal yang dibawa UMNO menular ke dalam sektor perkhidmatan awam seperti yang terjadi dalam kes skandal tanah Johor yang melibatkan Exco negeri baru-baru ini, termasuk kes skandal Jabatan Air Sabah yang menjadi rampasan tunai terbesar dalam sejarah operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semua peristiwa melibatkan kegagalan dan amalan rasuah yang dilakukan UMNO ini sudah cukup untuk mengetuk akal waras kita kepada sebuah persoalan, adakah UMNO boleh dipercayai untuk terus memimpin negara, apatah lagi untuk membawa Malaysia kepada kemajuan dan kemakmuran?

Tapi mengapa UMNO masih tak tumbang?

Memetik kata-kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu (Mat Sabu):

“Isu terlalu banyak, sampai nak muntah. Semua orang tahu Najib jahat.

“Tapi mereka tidak yakin apa yang akan jadi dan apa pembangkang akan buat untuk mereka sekiranya Barisan Nasional kalah dalam PRU akan datang”.

Dalam nada optimis dan yakin akan kelemahan pemimpin UMNO, di akhirnya Mat Sabu terpaksa juga akur dengan kelemahan pakatan pembangkang untuk menumbangkan parti majoriti kaum Melayu itu dalam gelanggang PRU.

60 tahun UMNO memerintah negara bukanlah satu jangka masa yang pendek. UMNO jika diterjemahkan sebagai manusia, adalah orang tua yang matang, dan sudah tahu selok belok kehidupan. Kalaupun bukan semua tetapi apa yang telah dilalui dan diciptanya. Sukar untuk dilunakkan hujahnya – degil dan keras kepala. Malah sering pula bernostalgia dengan kisah-kisah lama berulang-ulang kali.

Namun pilihan raya, sebuah lapangan selesa UMNO akhirnya berjaya diceroboh pakatan pembangkang sehingga menyaksikan Pulau Pinang dan Selangor, antara negeri terkaya di Malaysia, tumbang pada PRU 2008. Sehingga ke hari ini, pakatan pembangkang terus kekal memerintah di dua negeri tersebut.

Soal apa yang pembangkang akan buat untuk rakyat, bukan lagi soal yang harus ditanyakan pada 2017 ini. Kerana rakyat sudah boleh menyemak atau meneliti prestasi pakatan pembangkang di kedua-dua negeri tersebut. Pulau Pinang dengan belanjawan tambahan saban tahun, Selangor dengan dasar air percuma. Pendek kata, rakyat sudah celik dan boleh menilai. Namun tembok apa yang sedang menghalang daripada perubahan untuk berlaku?

UMNO dan perkauman

Perkauman adalah benteng terakhir UMNO. Untuk itu, mesin propaganda UMNO memuntahkan segala fitnah terhadap pakatan pembangkang, dan paling teruk merasai ‘dosa’ UMNO itu adalah DAP.

DAP adalah sasaran mudah UMNO. DAP sebagai parti dengan visi “Malaysian Malaysia” dan meraikan kepelbagaian kaum, agama, dan budaya dituduh sebagai parti Cina, hanya untuk menakut-nakutkan kaum Melayu.

DAP digambarkan UMNO sebagai momok yang ingin kononnya menganggu-gugat hak Bumiputera khususnya orang Melayu, sedangkan yang menjarah harta institusi milik kaum majoriti itu adalah pemimpin UMNO bersongkok tinggi, berbaju Melayu, dan pernah sekali menghunus keris dalam persidangannya.

UMNO menjual cerita bahawa DAP dengan kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan pakatan pembangkang akan memerintah negara jika terus diberi sokongan.

Segala tohmahan ini membuktikan betapa menggigilnya UMNO untuk menghadapi DAP yang kian mendapat sokongan orang Melayu. Malah, sokongan itu bakal meningkat sekiranya unsur perkauman yang ditanam dalam pemikiran orang Melayu dapat dirobohkan sepenuhnya.

Suka saya memetik kembali bait-bait kata yang terbit dari mulut Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said atau lebih mesra dipanggil Pak Samad, apabila dipertanyakan mengenai kebimbangan menebal orang Melayu sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Pak Samad dalam satu wawancara menjawab, dengan gaya bersahaja tetapi tegas seperti berikut:

“Kuasa di tangan Melayu, mengapa kata orang Melayu dalam bahaya?”

Saya kira persoalan dan penegasan itu sudah cukup untuk menjentik rasa fikir kita terhadap penipuan dan fitnah yang dimainkan UMNO bagi memerangkap daya pemikiran kita dalam legar perkauman yang tidak tahu penghujungnya.

Melayu khususnya penyokong tegar UMNO harus dibebaskan dari sentimen perkauman yang mengikat, keluar dari alegori gua Plato untuk melihat cahaya, dan dari situ bergerak mencari semula jati diri atau membina semula sikap yang baru. -Roketkini.com