Berita

Kerajaan digesa serius haramkan perkahwinan bawah umur

KUALA LUMPUR, 14 MAC: DAP menyokong penuh usaha kerajaan Persekutuan menggubal rang undang-undang (RUU) baharu dan khusus bagi menangani kesalahan jenayah seksual kanak-kanak yang akan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, RUU Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 tersebut wajar menyentuh mengenai isu perkahwinan bawah umur.

Ini, katanya, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan perkahwin bawah umur yang disokong kerajaan Malaysia pada Oktober 2013.

Menurutnya, walaupun hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun boleh dikenakan tuduhan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kes-kes melibatkan perkahwinan bawah umur masih terus berlaku di negara ini.

“Pada 2010, PBB melaporkan lebih 82,000 wanita yang berkahwin di Malaysia berumur antara 15 hingga 19 tahun. Pada tahun yang sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terdapat 15,000 kanak-kanak bawah 15 tahun berkahwin di negara ini.

“Malah, kajian menunjukkan gadis berusia antara 10 dan 14 tahun lima kali ganda terdedah kepada keguguran dan mati ketika bersalin berbanding wanita yang berumur dalam lingkungan 20 ke 21 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak melibatkan pihak pembangkang dalam menggubal RUU itu.

“Oktober tahun lepas, saya telah gesa supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said melibatkan kami, pihak pembangkang, dalam proses penggubalan dan rundingan berhubung RUU tersebut.

“Azalina sepatutnya lebih mengerti bahawa anggota-anggota Parlimen wanita boleh bekerjasama dalam hal yang membabitkan wanita dan kanak-kanak walaupun berbeza fahaman politik. Oleh itu, tidak ada sebab pihak pembangkang disisihkan,” katanya.

Namun apa yang menyedihkan, katanya, sehingga kini pihak pembangkang tidak tahu menahu mengenai butir-butir RUU tersebut dan tidak dimaklumkan sama ada isu mengenai bawah umur turut disertakan dalam RUU berkenaan. – Roketkini.com