Berita

SPR ‘sabotaj’ usaha Pakatan daftar pengundi baru?

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Keengganan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negeri Selangor bekerjasama dengan wakil rakyat Pakatan Harapan dilihat cuba mensabotaj usaha mendaftar pengundi baru.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata pejabatnya telah mengemukakan cadangan untuk menganjurkan kempen pendaftaran pemilih bersama SPR sebanyak 12 kali sejak 2016.

Malangnya, sehingga kini hanya dua kali ia berjaya dianjurkan.

Menurutnya, SPR memberi seribu satu alasan termasuk kononnya telah merancang aktiviti lain lebih awal.

“Hal ini berlaku di seluruh negeri Selangor.

“Dengan penangguhan proses pendengaran awam cadangan persempadanan semula Selangor, SPR di sini sepatutnya ada banyak masa lapang berbanding negeri lain,” jelasnya kepada Roketkini.

Menurut Eddie, sikap ‘berat sebelah’ SPR itu semakin melampau sejak Datuk Seri Hisham Abdullah dilantik sebagai pengerusi baru SPR menggantikan Tan Sri Abdul Aziz pada Januari 2016.

“Saya melihat ia sebagai tindakan sabotaj kerana jika merujuk kepada corak mengundi dalam PRU 13, pengundi generasi X lebih memihak kepada pakatan pembangkang kerana hilang keyakinan terhadap UMNO BN.

“Hal ini membuktikan kegagalan dan ketidakcekapan SPR memikul tanggungjawab bagi memastikan warganegara yang layak mengundi didaftarkan sebagai pemilih,” katanya.

Badan pendesak pilihanraya, Bersih 2.0 baru-baru ini melaporkan lebih 4.4 juta individu yang layak mengundi masih belum mendaftar.

Timbalan Pengerusinya, Shahrul Mohd Aman Saari mendakwa SPR telah menyukarkan proses pendaftaran pengundi, sekaligus dianggap gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat. – Roketkini.com