Rencana

Datuk Onn, seperti DAP, jauh mendahului zaman

Ucapan perbahasan Titah Diraja oleh Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Rabu 15 Mac 2017.

Datuk Onn Jaafar 66 tahun mendahului zaman, DAP pula 51 tahun mendahului zaman, saya ditahan ISA sewaktu Operasi Lalang 30 tahun lalu kerana terlalu melampaui zaman – bukankah kini masanya rakyat Malaysia bersatu sebagai sebuah bangsa?

Ketika Yang di Pertuan Agong melahirkan rasa tidak senang terhadap penjawat awam yang rasuah dalam titah baginda, berapa ramai Menteri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang terfikir tentang “Malaysian Official 1” dan penghinaan terhadap Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global?

Saya benar-benar terkejut bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim boleh memutarbelit kedudukan kedua paling teruk bagi Malaysia sepanjang 22 tahun yang lalu dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) – diletakkan kedudukan 55 dengan skor 49 daripada 100 – beliau mendakwa bahawa kedudukan Malaysia adalah “baik” dan negara ini masih dalam kumpulan yang terbaik dalam TI CPI 2016, berada dalam “kumpulan satu pertiga terbaik” daripada 176 negara yang terlibat dalam kajian ini.

Saya ingin mengingatkan Razali bahawa apabila Malaysia memperbaiki kedudukannya daripada tempat ke-54 kepada tempat ke-53 dalam CPI TI 2013, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) ketika itu, Datuk Seri Idris Jala begitu gembira sekali dan mengisytiharkan bahawa Pemandu mensasarkan Malaysia untuk berada dalam kedudukan 30 teratas menjelang tahun 2020.

Kini Malaysia telah jatuh ke tempat ke-55, dan sasaran Malaysia untuk berada dalam senarai 30 negara teratas dalam CPI TI dalam masa empat tahun menjelang 2020 nampaknya kian malap.

Putar belit Razali untuk menunjukkan bahawa kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI TI yang terbaru ini sebagai “baik” bagi Malaysia adalah bukti ranap dan gagalnya harapan kerajaan untuk negara ini – dari mensasarkan untuk berada di kedudukan 30 negara teratas dalam CPI TI pada tahun 2020, sehingga berasa selesa, leka dan malah berbangga apabila negara berada di kedudukan ke-55 pada tahun 2016!

Malaysia sepatutnya menjadi antara 30 negara teratas dalam CPI TI pada tahun 2008, tetapi sepertimana kita gagal dalam Pelan Integriti Nasional bagi Malaysia untuk menjadi antara 30 negara teratas dalam CPI TI pada tahun 2008, sehingga menjunam ke kedudukan 60 dalam CPI TI bagi tahun 2011, kita nampaknya akan gagal buat kali kedua dalam mencapai kedudukan 30 negara teratas pada tahun 2020.

Sesungguhnya ini adalah kali pertama Kerajaan telah hadir ke Parlimen untuk bermegah dengan pencapaian CPI TI mereka.

Razali langsung tidak sedar tentang ulasan buruk dalam CPI TI mengenai masalah rasuah di Asia Pasifik dan Malaysia yang menyebut:

“Malaysia’s Prime Minister has long been embroiled in the 1MBD corruption scandal with an unexplainable US$700 million in his personal bank account, contributing to the country’s lacklustre score of 49 out of 100. The Prime Minister’s deficient response, and what role this will play in upcoming elections, is something to watch in 2017.”

Transparency International menggambarkan CPI Malaysia 2016 sebagai “suram” tetapi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh ke hulu-ke hilir mendakwa semuanya “baik”!

Kerajaan juga langsung tidak sedar tentang kaji selidik TI yang mendapati rakyat Malaysia dan Vietnam melihat negara masing-masing sebagai mempunyai masalah rasuah yang paling teruk.

Kaji selidik tersebut, yang dijalankan antara 15 Julai 2015 hingga Januari tahun ini, telah mendapat maklum balas daripada lebih 20,000 rakyat di 16 negara Asia Pasifik.

Soalan yang dikemukakan termasuklah jika rakyat menganggap tahap rasuah telah berubah, bagaimana kerajaan memerangi rasuah, bagaimana keadaan rasuah dalam kalangan pihak polis dan sama ada orang ramai merasa berdaya untuk memerangi rasuah.

Kaji selidik itu, yang diberi tajuk “People and Corruption: Asia Pacific”, juga bertanya kepada responden sama ada mereka sendiri telah pernah memberi rasuah.

Menurut kaji selidik itu, Malaysia dan Vietnam menunjukkan pencapaian yang paling teruk, dengan tidak ada satu pun penarafan positif terhadap soalan-soalan tersebut.

“In these countries, the governments were rated poorly in their fight against corruption, people saw widespread corruption among the police, and many thought that corruption is on the rise.

“Fifty-nine percent of Malaysians think that the corruption level has increased,” kata TI dalam laporannya.

Saya mengakui bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bergerak aktif dalam tempoh enam bulan yang lalu, (sesuatu yang bukan yang luar biasa dalam musim menunggu pilihanraya umum, kerana rakyat Malaysia masih ingat janji untuk menjerat 18 “jerung “sebelum Pilihan Raya Umum tahun 2004, namun akhirnya terlepas begitu sahaja ke Laut China Selatan), dengan membuat banyak tangkapan dan mendedahkan timbunan hasil rompakan daripada dana awam, sama ada di Sabah atau Johor.

Tetapi soalan yang masih berlegar dalam fikiran rakyat Malaysia, dan khususnya perkhidmatan awam seramai 1.6 juta orang ialah: Di mana jerung-jerungnya – terutama sekali, di manakah MO1?

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Perumahan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mahu menentukan sama ada Akta SPRM telah dilanggar ekoran suatu laporan yang dibuat kepada SPRM terhadapnya.

Adakah Abdul Rahman telah mengambil alih SPRM dan boleh membuat keputusan akhir sama ada terdapat kes rasuah terhadapnya?

Minggu lepas, SPRM mendedahkan bahawa 54 peratus daripada penjawat awam yang didapati bersalah kerana rasuah adalah di bawah umur 40 tahun, manakala penjawat awam berusia muda lebih mudah terdedah kepada rasuah, bagi memenuhi tuntutan gaya hidup mereka.

Pegawai kerajaan yang baru berkhidmat dan kerani-kerani membeli iPhone model terbaru, memandu kereta mahal walaupun “gaya hidup mewah mereka tidak sepadan gaji mereka sebagai pegawai muda dan pembantu tadbir di bawah skala gaji kerajaan”.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki berkata 548 orang penjawat awam ditahan kerana rasuah pada Februari tahun ini sahaja.

Tahun lepas, seramai 665 penjawat awam ditahan atas kesalahan berkaitan rasuah.

Azam berkata SPRM telah menetapkan sasaran tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam.

Adakah ini boleh dicapai?

Saya bersetuju dengan Timbalan Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, bahawa ini mustahil untuk dicapai, kecuali jika kita menjenayahkan kekayaan dan pendapatan yang tidak seimbang dan tidak boleh diperjelaskan, bukan sahaja dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan, tetapi juga pemimpin-pemimpin politik.

Saya sebenarnya telah pada awal tahun tujuh puluhan, mencadangkan di Parlimen sebuah rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda kemudian Akta Pencegahan Rasuah 1975 dan menjadikannya suatu kesalahan bagi mana-mana pegawai awam seperti Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ketua Menteri, Menteri-menteri Besar, ahli Exco, Ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri atau penjawat awam yang telah mengumpulkan harta atau sumber kewangan yang tidak seimbang dengan sumber-sumber pendapatan yang diketahui, dan menyediakan kuasa bagi pelucuthakan harta itu atau nilai sumber kewangan tersebut sekirannya sumber kekayaan atau pendapatan yang tidak seimbang tersebut seperti tidak dapat dibuktikan sah.

Malaysia akan menjadi antara bukan hanya 30 negara teratas, tetapi mungkin 10 teratas dalam CPI TI tahunan sejak ia bermula pada tahun 1995 sekiranya undang-undang sedemikian telah diterima pakai sejak tahun tujuh puluhan!

Malaysia tidak akan keluar daripada perangkap kehinaan sebagai sebuah kleptokrasi global melainkan kita boleh mendamaikan momok skandal kleptokrasi pengubahan wang haram antarabangsa berbilion dolar 1MDB.

Menteri-menteri dan pemimpin UMNO telah cuba untuk mengeksploitasi lawatan empat hari Raja Salman dari Arab Saudi ke Malaysia sebagai bukti bahawa tidak ada sesuatu yang tidak betul tentang dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam 2013, dan malah mendakwa bahawa sikap berdiam diri Raja Salman adalah pengesahan bahawa RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib telah datang dari dalam kalangan kerabat diraja Arab Saudi.

Tuntutan ini sudah tentu tidak masuk akal dan tidak munasabah.

Perkara yang paling penting tentang lawatan Raja Salman ke Malaysia bukanlah apa yang telah disebut atau dilakukan oleh rombongan Saudi itu, termasuk majlis menandatangani perjanjian AS$ 7 bilion (RM31 bilion) dengan Saudi Aramco untuk 50 peratus pegangan dalam projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) milik Petronas di Pengerang; bahkan sebenarnya apa yang penting ialah segala yang tidak disebut tentang ‘derma’ RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Saya tidak terkejut bahawa seorang pemimpin UMNO berkata bahawa ini adalah yang kenyataan saya yang paling “dungu” setakat ini, kerana apa sangatlah keupayaan intelek yang boleh diharapkan daripada kepimpinan UMNO apabila Menteri UMNO pun boleh memberitahu sepuluh pembohongan dalam kenyataan lima perenggan yang singkat, manakala Ketua Penerangan UMNO boleh memberitahu lebih daripada lapan penipuan dalam kenyataan ringkas yang lain, dan kedua-dua mereka tidak berani menerima cabaran saya untuk hadir ke sidang media bersama supaya saya boleh mendededahkan pembohongan mereka satu demi satu?

Pemimpin UMNO yang mendakwa lawatan Raja Salman dari Arab Saudi ke Malaysia adalah satu bentuk usaha mempertahankan nama baik Najib dalam skandal derma RM2.6 bilion memandang rendah terhadap kedua-dua Raja Salman dan rakyat Malaysia.

Mustahil Raja Arab Saudi tidak menyedari bahawa skandal derma RM2.6 bilion dan skandal RM52 bilion 1MDB adalah tumit Achilles terbesar bagi Najib. Hanya buat carian Google terhadap “1MDB” dan anda akan mendapat 3.6 juta hasil dalam 4.5 saat.

Sebab mengapa Raja Salman tidak boleh berkata bahawa RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib sebagai derma oleh pihak beliau adalah sangat mudah – Raja Arab Saudi tahu bahawa tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) untuk menyita aset terkait 1MDB bernilai AS$ 1 bilion, adalah suatu dokumen awam secara hitam putih, dan ia telah mengesan secara terperinci jejak wang ‘derma’ RM2.6 bilion ini, dan mewujudkan di luar bayangan keraguan bahawa ia bukanlah derma dari lingkaran diraja Arab Saudi.

Sebagai contoh, dalam mukasurat 6 – 8 dan Perenggan 8 – 11 daripada dokumen tindakan undang-undang DOJ setebal 126 muka surat dengan 512 perenggan bagi penyitaan sebanyak aset terkait 1MDB bernilai AS$ 1 bilion di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland, menggariskan tiga “fasa” daripada “kelakuan jenayah” pengubahan wang haram antarabangsa berbilion dolar 1MDB:

(i)              the “Good Star” phase where the “fraudulent diversion of funds from 1MDB began approximately Sept. 2009, soon after 1MDB’s creation” involving more than US$1 billion;

(ii)             the “Aabar-BVI” phase in 2012 where “1MDB officials and others misappropriated and fraudulently diverted a substantial portion of the proceeds that 1MDB raised through two separate bond offerings arranged and underwritten by Goldman Sachs International”– approximately $1.367 billion, a sum equivalent to more than forty per cent of the total net proceeds raised.

(iii)            the “Tanore” phase in   2013, where “several individuals, including 1MDB officials, diverted more than $1.26 billion out of a total of $3 billion in principal that 1MDB raised through a third bond offering arranged by Goldman in March 2013”

Mukasurat 67 saman DOJ tentang “IV. THE TANORE PHASE: MORE THAN $1.26 BILLION IS MISAPPRORIATED FROM 1MDB”, dalam “A. EXECUTIVE SUMMARY OF THE TANORE PHASE”, seperti berikut:

229. Funds transferred to the Tanore Account were distributed for the benefit of at least one public official associated with 1MDB. More particularly, very shortly after the bond offering closed, between approximately March 21, 2013 and March 25, 2013, $681,000,000 was transferred from the Tanore account to an account belonging to MALAYSIAN OFFICIAL 1. Of this amount, approximately $620 million was returned to the Tanore Account on or about August 26, 2013.”

Kemudian kita sampai ke mukasurat 75 saman DOJ tentang “D. $681 MILLION WAS TRANSFERRED FROM THE TANORE ACCOUNT TO AN ACCOUNT BELONGING TO MALAYSIAN OFFICIAL 1”, yang menyebut:

259.Shortly after proceeds of the 2013 bond sale were diverted to the Tanore Account, $681,000,000 was sent from the Tanore Account to a bank account belonging to MALAYSIAN OFFICIAL 1.

260. On or about March 21, 2013, Tanore transferred $620,000,000 into an account in AmBank in Malaysia, whose beneficiary was listed as “AMPRIVATE BANKING-MR.”. On or about March 25, 2013, an additional $61,000,000 was wired from the Tanore Account to the same account at AmBank, for a total of $681,000,000.

261. This account belonged to MALAYSIAN OFFICIAL 1 and is the same account that in 2011 received $20 million from the PETROSAUDI CO-FOUNDER that was traceable to the Good Star Account, as set forth in Section II.G. It is also the same account that in 2012 received at least $30 million from the Blackstone Account that was traceable to the Aabar-BVI Swiss Account and the 2012 bond proceeds, as set forth in Section III.E.3.

262. On or about August 26, 2013, $620,010,715 was wired from a different account at AmBank to the Tanore Account. This AmBank account also belonged to MALAYSIAN OFFICIAL 1, and the transfer represented funds from $681 million payments that were being returned to Tanore.”

Dua perenggan berikutnya lebih menarik lagi, iaitu:

263. The Attorney-General of Malaysia publicly stated that he conducted an inquiry into the $681 million in payments. In a press release issued on January 26, 2016, the Malaysian Attorney-General confirmed that, “the sum of USD681 was transferred into the personal account of MALAYSIAN OFFICIAL 1 between 22.3.2013 and 10.04.2013,” and that, “in August 2013, a sum of USD620 million was returned by MALAYSIAN OFFICIAL 1…” The Malaysian Attorney-General ultimately characterized the payment of $681 million as a “personal donation to MALAYSIAN OFFICIAL 1 from the Saudi royal family which was given to him without consideration.”

264. Bank records associated with Tanore Account show that TAN was the beneficial owner of the Tanore account, from which the $681,000,000 payments to the account of MALAYSIAN OFFICIAL 1 were made, and that 1MDB OFFICER 3 was added as an authorized signor of the Tanore Account roughly one day before the first wire of $620,000,000 was sent from the Tanore Account to the account of MALAYSIAN OFFICIAL 1.”

1MDB OFFICER 3” dinyatakan dalam tuntutan mahkamah DOJ itu sebagai “seorang rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai peguam am 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan untuk tempoh sekurang-kurangnya, 2012 dan 2013” (“a Malaysian national who served as 1MDB’s general counsel and executive director of group strategy during at a minimum, 2012 and 2013”) telah dikenal pasti sebagai Jasmine Loo – yang seperti Jho Low, seorang lagi pelarian antarabangsa dari keadilan untuk kleptokrasi.

Tiada yang lebih jelas, secara hitam putih!

DOJ telah mendedahkan pembohongan dakwaan Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali bahawa kononnya AS$ 681 juta dalam akaun peribadi Najib adalah “derma dari keluarga diraja Arab diberikan tanpa balasan”, apabila DOJ telah mengesan secara terperinci jejak wang ‘derma’ RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur itu, dari punca akaun di mana wang AS$ 681 juta itu masuk ke akaun Najib, dan ke mana kemudiannya AS$ 621 juta telah dikembalikan.

AS$ 681 juta datang daripada akaun Tanore pada Mac 2013 dan AS$ 620 juta telah dipindahkan semula ke akaun Tanore pada bulan Ogos 2013, yang langsung tidak ada kena mengena dengan mana-mana kerabat diraja Saudi.

Seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 248 (halaman 73) saman DOJ, akaun Tanore di Singapura dibuka oleh TAN (ERIC Tan Kim Loong) pada atau sekitar November 2, 2012 dan TAN pada asalnya penandatangan tunggal yang diberi kuasa.

Tanore adalah salah satu daripada pelbagai syarikat yang digunakan Jho Low untuk “rompakan abad ini” dalam skandal pengubahan wang haram antarabangsa berbilion dolar 1MDB.

Ke mana perginya wang AS$ 620 juta dalam akaun Ambank Najib di Kuala Lumpur yang telah dikembalikan kepada akaun Tanore pada bulan Ogos 2013, kerana jelas bahawa wang itu tidak kembali kepada mana-mana kerabat diraja Arab Saudi kerana ia tidak pernah berpunca dari Arab Saudi pun sebenarnya.

Adakah Raja Salman begitu bodoh untuk mengakui bahawa baginda telah mendermakan AS$ 681 juta kepada Najib, yang kemudiannya mengembalikan AS$ 620 juta kepada beliau, sedangkan semua ini hanyalah cerita rekaan untuk untuk menyembunyikan jejak wang daripada jumlah asal AS$ 681 dan seterusnya pemindahan AS$ 620 juta ke akaun Tanore?

Tiada siapa yang akan percaya bahawa Raja Salman Arab Saudi begitu bodoh sekali untuk bertanggungjawab ke atas skandal pengubahan wang kleptokratik 1MDB bagi pihak Najib sedangkan tidak ada bukti bahawa keluarga diraja Saudi terlibat dalam skandal kleptokratik 1MDB dalam apa cara sekalipun.

Lebih tujuh bulan telah berlalu sejak tindakan mahkamah DOJ mengesan jejak wang skandal pengubahan wang haram kleptokratik 1MDB, termasuk apa yang disebut sebagai sebagai “derma” ke dalam akaun peribadi Najib, tetapi Najib mahupun Apandi masih belum mampu mencabar kebenaran dakwaan DOJ tentang aliran wang 1MDB itu.

Najib dan Apandi tidak boleh terus berlari dan bersembunyi – kerana tidak ada tempat di dunia ini untuk mereka lari dan bersembunyi. Satu-satunya pilihan yang mereka ada ialah untuk berkata benar, dan hanya yang benar belaka skandal kleptokratik global 1MDB.

Mungkin mereka berharap bahawa mereka akan diselamatkan oleh Presiden Trump dan tindakan undang-undang DOJ ke atas 1MDB akan terhenti berikutan tindakan Trump pada 10 Mac lalu memecat 46 orang peguam negara Amerika.

Sama ada Trump akan menyelamatkan Najib dan membantutkan tindakan undang-undang DOJ, kita hanya perlu tunggu dan lihat. Namun perkembangan 1MDB yang sedang membikin gelombang dan menjadi tajuk utama di seluruh dunia tidak akan berhenti, sama ada pemenjaraan dan pendakwaan jenayah terhadap bekas pegawai bank yang terlibat dalam pengubahan wang haram 1MDB , atau penutupan bank dan denda berat di negara-negara asing berikutan penglibatan dalam pengubahan wang haram 1MDB, atau perkembangan terbaru termasuk:

  1. Tindakan Singapura menghalang bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner untuk 10 tahun ekoran aktiviti pengubahan wang haram 1MDB;
  2. Tindakan Singapura menyita jet Bombardier Global 5000 dari taikun Malaysia Jho Low di tengah-tengah skandal 1MDB;
  3. Tindakan pihak berkuasa Swiss memerintahkan bank swasta, Coutts, untuk membayar kembali SFr6.5 juta dari keuntungan daripada 1MDB memandangkan begitu banyak transaksi “berisiko tinggi” 1MDBdiproses melalui akaun Coutts, termasuk penggunaan AS$ 35 juta untuk kunjungan ke kasino dan pebiayaan khidmat layanan mewah seperti penyewaan kapal pesiar.
  4. Jho Low sedang meningkatkan usaha untuk mendapatkan kembali aset seperti Hotel Park Lane di New York dan sebuah karya seni Van Gogh. Pemegang amanah yang baru dilantik nampaknya memberi nada yang lebih berani berbanding penyandang sebelumnya, bank Swiss Rothschild.
  5. Mahkamah Amerika Syarikat memberikan persetujuan untuk jualan hotel Jho Low di New York.
  6. Buntunya perbincangan oleh UAE untuk mendapatkan AS$ 6.5 bilion daripada 1MDB – syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didanai Abu Dhabi telah membawa kesnya ke Mahkamah Timbangtara Antarabangs London a (LCIA) Jun lalu tetapi kedua-dua syarikat pelaburan milik kerajaan itu telah cuba untuk membincangkan penyelesaian di luar mahkamah sejak itu, kata sumber.

Kita bakal meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-60, tetapi Malaysia tidak tidak boleh berbangga dengan pencapaian Perdana Menteri keenam selama lapan tahun beliau berkhidmat,  yang tidak mampu dilakukan lima perdana menteri sebelum ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah; sepanjang 52 tahun lampau – menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global.

Saya telah bertanya dalam sidang Parlimen ini, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tentang apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk membersihkan dan memulihkan nama baik dan reputasi di Malaysia daripada dianggap sebagai kleptokrasi global.

Malangnya, daripada menjawab salah satu soalan yang paling penting yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini, soalan saya telah ditolak oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai melanggar Peraturan Mesyuarat 23 (1) (c) yang menyatakan bahawa “sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmah, puji atau keji atau mengandungi kalimah-kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh.”

Saya tidak bersetuju dengan Speaker kerana soalan saya tentang apa langkah yang telah diambil kerajaan untuk membersihkan dan memulihkan nama baik dan reputasi Malaysia hasil tanggapan dunia sebagai sebuah “kleptokrasi global” adalah soalan yang sah dan penting – kerana ini adalah sebab mengapa rakyat Malaysia di luar negara berasa malu untuk menggelarkan diri mereka sebagai rakyat Malaysia apabila ditanya dari negara mana mereka datang. Ia bukanlah satu penghujahan, menyakitkan hati atau mengarut, tetapi merupakan soalan yang ditanyakan oleh 31 juta rakyat Malaysia, sama ada di luar atau dalam negara.

Atas sebab ini saya mengalu-alukan perbahasan Mahathir-Nazri tentang 1MDB di Padang Rengas pada 23 Mac nanti, kerana ia akan memecahkan tembok-tembok yang dikuatkuasakan untuk mengelakkan perdebatan yang sihat dan demokratik selain tuntutan rakyat terhadap akauntabiliti ke atas ibu segala skandal kerajaan dalam sejarah negara.

Saya tidak faham apa yang Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani katakan apabila beliau mendakwa bahawa skandal 1MDB telah “dibahaskan secara meluas di Parlimen” apabila Ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk bertanya soalan mengenai skandal 1MDB walaupun hampir setiap hari skandal 1MDB menjadi tajuk utama di serata dunia!

Untuk rekod, Parlimen tidak pernah menjalankan apa-apa perbahasan mengenai skandal 1MDB.

Ya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah menjalankan siasatan ke atas 1MDB, tetapi ini berlaku sebelum PAC mempunyai akses kepada maklumat terkini mengenai skandal 1MDB, khususnya tindakan undang-undang terbesar DOJ bagi menyita  aset terkait 1MDB bernilai lebih AS$ 1 bilion di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland yang berpunca daripada keuntungan haram lebih AS$ 3 daripada pengubahan wang haram antarabangsa 1MDB.

Malah Ahli-ahli Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk membahaskan Laporan PAC di Parlimen.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB pula telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan dinafikan akses kepada semua Ahli Parlimen, kecuali ahli-ahli PAC.

Tambahan pula, cadangan PAC berdasarkan siasatan awal ke atas skandal 1MDB telah diabaikan selama hampir satu tahun – dan Pengerusi PAC tidak berani meneruskan perkara itu. Mengapa?

Saya menyeru kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Salleh Said Keruak untuk mengatur supaya perbahasan Mahathir-Nazri di Padang Rengas disiarkan secara langsung supaya rakyat Malaysia di seluruh negara boleh mengikuti perkembangan terkini tentang ibu segala skandal kerajaan dalam sejarah negara.

Saya mengalu-alukan usaha kerajaan menubuhkan laman web untuk membantu orang ramai mengesan berita palsu, yang bukan milik kerajaan tetapi milik rakyat supaya semua orang yang dapat memanfaatkannya dengan sepenuhnya.

Saya juga mengalu-alukan jaminan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia bahawa penubuhan “one stop center” untuk menyemak berita palsu tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

DAP telah menyokong Perdana Menteri sepenuhnya dalam memerangi penyebaran berita palsu, bukan saja oleh mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan tetapi juga mereka yang mahu terus berpaut kepada kuasa walaupun mereka telah kehilangan kredibiliti dan legitimasi.

Harus difahami dengan jelas bahawa mahu menewaskan kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen bukanlah satu jenayah atau pengkhianatan – tetapi ini perlu dilakukan melalui proses demokrasi, sama ada dengan cara usul tidak percaya di Parlimen atau melalui peti undi semasa pilihan raya umum.

Malah sebenarnya keinginan untuk terus berpaut kepada kuasa dengan segala cara yang tidak demokratik dan jenayah adalah tidak nasionalistik mahupun patriotik – contohnya seperti meneruskan sistem pilihan raya tidak demokratik atau melanggar undang-undang negara yang mengakibatkan Malaysia menganggap seluruh dunia sebagai “kleptokrasi global” dan bersalah menggunakan politik wang untuk melemahkan kehendak ramai.

Biar saya tanya Najib dan Salleh soalan mudah – adakah mereka sama-sama akan memerangi penyebaran berita palsu secara adil dan saksama, sama ada tujuannya adalah untuk mengambil alih kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 atau untuk berpaut kepada kuasa dengan apa jua cara?

Saya menyatakan sokongan padu kepada Najib untuk memerangi penyebaran berita palsu oleh mereka yang mahu menjatuhkan Najib dan Barisan Nasional/UMNO dari Putrajaya, tetapi adakah beliau akan menyatakan sokongan penuh terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu supaya UMNO/BN boleh kekal berkuasa di Putrajaya walaupun parti pemerintah yang kehilangan kredibiliti dan legitimasi?

Malah sebenarnya Najib sendiri merupakan pesalah yang paling teruk dalam penyebaran berita palsu, terutama dalam ucapannya sebagai Presiden UMNO pada 30 November tahun lepas, di mana beliau menyebarkan tiga “Big Nazi Lies” dan berita palsu:

  1. Bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 akan menjadi satu pertandingan antara UMNO dan DAP;
  2. Bahawa DAP adalah anti-Melayu atau anti-Islam.
  3. “Mimpi ngeri” Melayu akan menderita jika UMNO hilang kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Inilah tiga “Big Lies” yang sesuai dengan definisi Hitler/Goebbels bahawa “jika anda memberitahu satu pembohongan cukup besar dan terus mengulanginya, orang akhirnya akan mempercayainya.”

Ini adalah tiga “Big Lies” dan berita palsu kerana:

  1. PRU ke-14 bukanlah pertandingan antara UMNO melawan DAP. Ia akan menjadi satu pertempuran antara Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO dan gabungan Pakatan Harapan DAP, PKR dan Parti Amanah bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dengan mempertahankan prinsip-prinsip asas Perlembagaan yang demokratik, adil serta sebuah negara yang majmuk dan bersatu.
  2. DAP bukanlah anti-Melayu atau anti-Islam. DAP bukan parti Cina kerana sejak dari awal pembentukan kami 50 tahun yang lalu, kami komited kepada prinsip dan visi sebagai sebuah parti Malaysia yang diketuai oleh rakyat Malaysia dan berkhidmat demi kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Kerana itulah pada pilihan raya umum yang pertama ditandingi oleh DAP pada tahun 1969, dua Ahli Dewan Undangan Negeri Melayu telah dipilih, dan sepanang dekad-dekad berikutnya, telah terdapat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Melayu di bawah panji-panji DAP.

  1. Melayu tidak akan berhadapan “mimpi ngeri” jika UMNO hilang kuasa dalam PRU14, kerana Najib hanyalah mahu mewujudkan ketakutan dan rasa panik di kalangan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa politik kepada orang Cina.

Apa sahaja yang berlaku dalam PRU ke-14, sama ada Najib ditewaskan sebagai Perdana Menteri atau UMNO tewas di peringkat Kerajaan Persekutuan, orang Melayu di Malaysia akan terus mempunyai kuasa politik di negara ini kerana tidak ada cara untuk mereka kehilangan kuasa politik. Jika Najib tewas dalam PRU ke-14, Perdana Menteri akan kekal Melayu dan beragama Islam dan bukannya seoang bukan-Islam atau bukan-Melayu.

Realiti demografi adalah jaminan yang paling pasti bahawa orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik, tidak kira apa sahaja yang berlaku kepada Najib atau UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada tahun 1970 populasi Malaysia terdiri daripada 44.32% Melayu, 34.34% Cina, 8.99% India, 11.89% Bumiputera bukan Melayu, dan 0.67% lain-lain.

Pada tahun 2010, peratusan orang Melayu di kalangan penduduk Malaysia meningkat kepada 55.07%, Cina berkurangan kepada 24.34%, India menurun kepada 7.35%, Bumiputera bukan Melayu dikekalkan pada 11.94% manakala 1.3% lain-lain.

Semasa pilihan raya umum ke-13, 52,63% adalah pengundi Melayu, 29.68% Cina, 7.31% India, 8.96% Bumiputera bukan Melayu dan 1.43% lain-lain.

Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 114 adalah kerusi majoriti Melayu yang mewakili kira-kira 70%, 22 kerusi majoriti Cina (13%) dan 29 kerusi campuran. Tidak ada satu pun kerusi majoriti India.

Dengan faktor-faktor yang mewujudkan penguasaan Melayu dalam arena politik Malaysia – demografi penduduk, pengundi dan kawasan Parlimen – bolehkah jentera propaganda Najib dan UMNO menerangkan bagaimana orang Melayu akan kehilangan kuasa politik, tidak kira apa sahaja senario di PRU14?

Bagaimana orang Melayu yang mendominasi 70% kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia akan kehilangan kuasa politik kepada Cina, yang hanya mempunyai majoriti di hanya 13% kerusi parlimen?

Adakah ini laman web khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk “berita palsu” ini akan mendedahkan tiga “Big Lies” yang direka oleh Najib dalam ucapan Presiden UMNO pada 30 November tahun lalu?

Satu lagi “berita palsu”, pembohongan dan kepalsuan adalah tuduhan UMNO bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah menjadi boneka saya, manakala MCA/Gerakan pula menuduh saya sebagai boneka Mahathir.

Adakah “pusat sehenti terhadap berita palsu” tersebut akan membongkar pembohongan dan penipuan sedemikian?

Bolehkah UMNO/Barisan Nasional membuat keputusan bersama mengenai siapa yang adalah menjadi boneka siapa?

Sepanjang 50 tahun hidup politik saya, saya boleh dikatakan telah digelapkan daripada media arus perdana yang dimiliki dan dikawal UMNO, sama ada New Straits Times, Utusan Malaysia, Berita Harian atau TV3, dan menjadi “non-person” seperti Kesatuan Soviet Stalin.

Tetapi dalam tempoh tiga bulan yang lalu, satu fenomena baru berlaku di media arus perdana yang dimiliki UMNO, di mana saya muncul hampir setiap hari, jika tidak dalam New Straits Times, maka dalam Utusan, Berita Harian atau TV3, malah siap dengan gambar walaupun untuk beberapa dekad yang lalu terdapat arahan di media arus perdana UMNO/BN supaya tidak menggunakan gambar saya – tetapi tidak ada berita, fakta atau kebenaran, bahkan hanylah pembohongan, penipuan dan fitnah belaka untuk memburuk-burukkan saya, menggambarkan saya sebagai syaitan, hantu, puaka atau jembalang, seolah-olah saya bernafas api atau makan bayi sewaktu sarapan pagi, bahawa saya seorang komunis, anti-Melayu, anti-Islam, bahawa saya adalah punca rusuhan kaum 13 Mei pada tahun 1969 walaupun saya tidak berada di Kuala Lumpur dalam tempoh itu dan sebenarnya di Kota Kinabalu pada hari tragis 13 Mei 1969, bahawa saya boneka PAP Singapura.

Apakah punca kepada fenomena baru ini, untuk menukar taktik daripada “menggelapkan” semua rujukan termasuk gambar saya daripada media arus perdana UMNO sehingga menjadikan saya bahan ruji untuk pembohongan terhadap pemimpin DAP?

Sebabnya mudah – Najib dan penasihat strategi “braintrust” UMNO bimbang bahawa UMNO/BN boleh tewas dalam PRU ke-14, dan mereka melakukan yang terbaik untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu daripada menyokong DAP, Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu dengan mempertingkat serta mempergiat serangan fitnah mereka terhadap DAP dan saya sendiri.

Jika Najib dan penasihat-penasihatnya dalam UMNO betul-betul yakin bahawa mereka akan menang dalam PRU14, tidak ada keperluan bagi mereka untuk mengeluarkan berita palsu dan mempertingkatkan kempen kebencian mereka terhadap DAP dan saya, sehinggakan membuat pusingan-U terhadap dasar selama 50 tahun untuk menggelapkan saya dan pemimpin DAP, kepada menjadikan kami salah satu daripada penerbitan berita palsu dan penipuan setiap hari.

Tetapi Najib dan jentera propaganda serta pakar strateginya sedang melakukan kerja bodoh, kerana sebenarnya adalah lebih berfaedah sekiranya mereka menjelaskan faktor-faktor politik dan ekonomi sebenar terhadap wujudnya rasa gelisah dan tidak tenteram di kalangan akar umbi tradisi UMNO dan juga di kalangan 1.6 juta kakitangan kerajaan kerana rasuah, salah laku dan penyalahgunaan kuasa pemimpin UMNO di peringkat negeri dan kebangsaan.

Malah, saya tidak akan terkejut jika buat kali pertama, majoriti undi penjawat awam tidak memihak kepada UMNO pada PRU ke-14, walaupun secara umum mereka perlu dilihat sebagai penyokong setia UMNO.

Menteri Kabinet dan pemimpin UMNO/BN adalah pencipta utama berita palsu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mencipta rekod apabila berjaya menyatakan lebih sepuluh pembohongan dalam kenyataan lima perenggan yang singkat menyerang saya bulan lalu dan saya telah mencabar beliau untuk muncul dalam satu sidang media bersama dengan saya untuk saya membuktikan bahawa dia telah memberitahu lebih daripada 10 pembohongan dalam kenyataan lima perenggan menyerang saya.

Begitu juga dengan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Annuar Musa yang memberitahu sekurang-kurangnya lapan pembohongan mengenai saya dalam satu kenyataan ringkas tentang tawaran saya untuk berucap di ‘roadshow’ UMNO/BN ke seluruh negara mengenai keputusan Kabinet bagi menubuhkan pasukan taskforce untuk menyiasat kerugian forex Bank Negara lebih daripada dua dekad yang lalu.

Adakah semua pembohongan, fitnah dan “berita palsu” yang dicipta oleh Menteri-menteri dan pemimpin UMNO/BN ini didedahkan di “pusat sehenti” berita palsu itu?

Penipuan, pembohongan dan “berita palsu” juga telah dihasilkan terhadap Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP, termasuk yang berikut:

  • Setengah pihak yang mendakwa behawa ‘regim’ DAP telah memberi tekanan terhadap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam agar melarang azan melalui pembesar suara pada waktu subuh.
  • Dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menindas kaum Melayu.
  • Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dituduh tidak prihatin terhadap rakyat kerana tidak membina rumah mampu milik. Sebenarnya, kerajaan negeri berjaya membina sebanyak 20,887 unit rumah mampu milik sejak 2008. Malah, jumlah itu terus meningkat apabila sebanyak 65,796 unit lagi akan dibina dalam tempoh dalam masa depan. Malangnya, tidak ada satu unit rumah mampu milik pun dibina di bawah skim perumahan kerajaan Persekutuan, PR1MA dan PPA1M di Pulau Pinang walaupun ia dijanjikan berulang kali oleh BN sejak 2013.

Akan pembohongan, fitnah dan “berita palsu” ini akan dibuktikan palsu di “pusat sehenti” kerajaan bagi memerangi berita palsu?

Pembohongan, fitnah dan ‘berta palsu’ yang terbesar ialah orang Melayu akan ditindas jika Najib dan UMNO hilang kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib sendiri mendakwa, misalnya dalam ucapan Presiden UMNO pada 30 November 2016, yang institusi seperti MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan “hilang” jika UMNO kalah dan DAP, PKR, AMANAH dan Pribumi Bersatu menang pilihan raya umum akan datang.

Di Pahang minggu lalu, Najib berkata, jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang dan DAP berkuasa, orang Melayu dan bumiputera akan ketinggalan dalam pendidikan dan peluang ekonomi untuk kemajuan.

Malah, Najib seakan menyatakan bahawa jika UMNO hilang kuasa, saya lah yang akan menjadi Perdana Menteri!

Semua ini adalah tidak benar. Pertama, jika UMNO kalah, Perdana Menteri akan kekal Melayu dan Islam kerana itu adalah realiti politik di Malaysia.

Biar saya isytiharkan bahawa jika UMNO kalah dalam PRU ke-14 dan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah bersama-sama dengan Pribumi Bersatu membentuk kerajaan baru, kami akan bersaing dengan rekod 60 tahun UMNO untuk menunjukkan bahawa kerajaan baru boleh melakukan yang lebih baik untuk berkhidmat kepada orang Melayu dan semua rakyat Malaysia – bahawa kita boleh melakukan lebih banyak untuk meningkatkan kedudukan pendidikan dan ekonomi orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, yakni semua rakyat Malaysia berbanding gabungan UMNO/BN sepanjang 60 tahun yang lalu.

Jika DAP, PKR, Amanah dan Pribumi-Bersatu gagal untuk menunjukkan bahawa kami boleh melakukan lebih baik daripada gabungan UMNO/BN dalam meningkatkan taraf ekonomi dan pendidikan orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, kami akan diundi keluar dari Putrajaya lima tahun kemudian pada PRU ke-15 kerana setiap lima tahun, kerajaan perlu kembali kepada pengundi untuk mendapatkan mandat baru.

Kemungkinan bahawa orang Melayu akan tertindas dan terpinggir tidak wujud sama sekali, kerana kerajaan yang menggantikan kerajaan UMNO/BN mahu terus dilantik semula ke Putrajaya dan bukan hanya menjadi Kerajaan Persekutuan satu penggal – ini bermakna kita mesti berupaya untuk membuktikan kepada semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, bahawa kita adalah kerajaan yang lebih baik daripada UMNO/BN!

Terlalu melampaui zaman

Enam puluh tahun yang lalu, pada 26 Ogos 1951, pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar merasa jijik dengan apa yang dianggapnya sebagai politik perkauman UMNO dan seruannya supaya keanggotaan parti UMNO dibuka kepada semua rakyat Malaya telah ditolak. Beliau dianggap sebagai terlalu melampaui zaman.

Lima puluh satu tahun yang lalu, pada 18 Mac 1966, apabila DAP telah didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang khusus ke arah matlamat negara Malaysia yang demokratik, makmur dan adil untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, kami juga dianggap terlalu melampaui zaman.

Tiga puluh tahun yang lalu, pada bulan Disember 1987, seorang pegawai tinggi kerajaan melawat saya di suatu tempat di Batu di mana saya telah dikurung sendirian selama 60 hari semasa dalam tahanan ISA kedua saya dalam Operasi Lalang, untuk memberitahu saya bahawa saya diberi perintah rasmi tahanan ISA dan dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting, saya diberitahu bahawa prinsip-prinsip DAP dan dasar mungkin benar dan betul, tetapi kami terlalu melampaui zaman walaupun ia mungkin sesuai untuk generasi Malaysia akan datang.

Sekarang tahun 2017, enam puluh tahun selepas Merdeka pada tahun 1957, dan 57 tahun selepas pembentukan Malaysia – tiga generasi rakyat Malaysia. Bukankah masanya telah tiba untuk semua rakyat Malaysia berhenti menganggap diri mereka sebagai Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban serta mula menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia, dan bersatu untuk Selamatkan Malaysia daripada kleptokrasi global dan terjerumus ke arah sebuah negara gagal?

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan anggotanya wajar dipotong gaji dan faedah mereka sebanyak 25 peratus kerana gagal mendaftarkan 25% daripada pengundi yang layak ke dalam daftar pemilih

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata di Lundu, Sarawak pada Ahad  bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya sentiasa bersedia untuk mengadakan pilihan raya umum.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai mesej viral di media sosial bahawa Jabatan Penerangan telah mengeluarkan pekeliling pembekuan cuti untuk kakitangan dan lawatan peribadi ke luar negara ermula 1 Mei dengan alasan Pilihan Raya Umum ke-14 bakal menjelang.

Bagaimana SPR boleh mendakwa bahawa ia bersedia untuk mengadakan PRU ke-14 apabila sekitar 25 peratus daripada pengundi yang layak tidak didaftarkan ke dalam daftar pemilih dan tidak boleh mengundi dalam PRU ke-14 jika ia berlangsung pada bulan September, kecuali jika mereka mendaftar sebagai pengundi dalam tempoh dua minggu lagi – yang menjadikan kempen pendaftaran pemilih sekarang sebagai kempen pendaftaran terakhir sekiranya PRU ke-14 diadakan pada bulan September memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya memerlukan kira-kira enam bulan sebelum mereka boleh memproses dan memuktamadkan seseorang pengundi ke dalam daftar pemilih?

Terdapat 17.6 juta pengundi yang layak tetapi lebih empat juta daripada mereka tidak berdaftar dalam daftar pemilih, ertinya kira-kira 25 peratus daripada pengundi yang layak tidak dapat membuang undi mereka jika PRU ke-14 diadakan pada September nanti, kecualilah mereka didaftarkan dalam tempoh dua minggu berikut.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan anggotanya wajar dipotong gaji dan faedah mereka sebanyak 25 peratus kerana gagal mendaftarkan 25% daripada pengundi yang layak ke dalam daftar pemilih. Sesungguhnya ini adalah ketidakcekapan yang sangat mengejutkan.

Sejak pertama kali dipilih ke Parlimen pada tahun 1969, salah satu isu yang saya telah saya bangkitkan adalah pendaftaran pengundi secara automatik, yang merupakan kebiasaan di negara-negara lain tetapi seolah-olah satu kemustahilan di Malaysia.

Kira-kira 48 tahun telah berlalu namun pendaftaran pengundi secara automatik masih belum tercapai.

Nampaknya kita mempunyai suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang paling tidak cekap di dunia yang tidak mampu mewujudkan sistem sistem pendaftaran pengundi yang terkini.

Negara-negara lain boleh mempunyai sistem di mana seorang pengundi boleh mendaftar hari ini dan mengundi esok, tetapi di Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya memerlukan kira-kira enam bulan untuk memproses pendaftaran dan diletakkan dalam daftar pemilih bagi membolehkan seseorang mengundi – ini mengakibatkan keadaan di mana lebih empat juta daripada 17.6 juta pengundi Malaysia yang layak tidak berada dalam daftar pemilih dengan hak untuk mengundi dalam pilihan raya.

Saya tidak faham mengapa begitu mustahil bagi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mempunyai sistem yang cekap dan terkini di mana seseorang boleh mengundi selepas satu minggu, atau sekurang-kurangnya selepas sebulan mendaftar – bukannya mengambil masa selama enam bulan. Ini sepatutnya menjadi KPI bagi pelantikan Pengerusi dan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya.

Saya teringin untuk berpeluang menemui Pengerusi SPR dan pegawai-pegawainya untuk mengetahui mengapa SPR tidak boleh mempunyai satu sistem di mana pengundi boleh mengundi selepas mendaftar selama seminggu, atau paling tidak selepas satu bulan, dan bukan enam bulan seperti sekarang sebelum mereka boleh mengundi.

Tetapi Pengerusi SPR kini adalah pengerusi SPR yang paling tidak mahu bekerjasama dalam sejarah Malaysia, memandangkan permintaan Ahli-ahli Parlimen DAP untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama beliau dan pegawai-pegawai SPR yang lain tentang sistem pilihan raya telah ditolak.

SPR seolah-olah merupakan institusi yang paling sibuk di negara ini, di mana mereka tidak mempunyai masa untuk bertemu dengan Ahli Parlimen dan parti-parti pembangkang – tetapi tidak pula berjaya mendaftarkan lebih empat juta pengundi Malaysia yang layak!

Saya tidak tahu kalau-kalau Pengerusi SPR pun akan memberitahu Perdana Menteri atau Menteri-menteri dan pemimpin UMNO bahawa beliau terlalu sibuk untuk bertemu dengan mereka.

Tiada Pengerusi SPR sebelum ini yang menolak untuk bertemu dengan pemimpin dan Ahli Parlimen DAP untuk membincangkan tugas-tugas SPR seperti yang digariskan perlembagaan mengenai perjalanan pilihan raya, dan ini amat dikesali, kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa PRU ke-14 akan menjadi pilihanraya yang paling tidak adil dan tidak demokratik dalam sejarah negara.

*Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah