Berita

Pemuda Pakatan Harapan-Armada lancar jentera perangi fitnah perkauman UMNO

SHAH ALAM, 15 MAC: Sayap pemuda Pakatan Harapan dan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) Selangor dalam satu sidang media baru-baru ini melancarkan kempen bagi memerangi budaya perkauman yang semakin menular di negara ini.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Selangor, Eric Teh Hoong Keat yang dihubungi Roketkini bagi mengulas mengenai perkara itu berkata, kempen itu dilaksanakan bagi menangkis fitnah berunsur perkauman yang sering dilemparkan unit propaganda UMNO terhadap pakatan pembangkang, khususnya DAP.

“Kami (Pakatan Harapan-Bersatu) akan masuk ke kawasan kampung dan pedalaman di sekitar negeri Selangor bagi memperjelaskan kepada rakyat mengenai fitnah yang dilemparkan UMNO terhadap kami.

“UMNO menggunakan taktik kotor dengan menuduh DAP yang juga parti komponen Pakatan Harapan kononnya ingin menguasai negara, dan kononnya Lim Kit Siang ingin dijadikan perdana menteri, sekiranya Pakatan Harapan-Bersatu menang pilihan raya.

“Segala fitnah ini kami akan jelaskan kepada rakyat dalam kempen itu yang akan dijalankan dalam tarikh yang akan ditetapkan sehingga tiba hari pilihan raya nanti,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di sini semalam, Ketua Pemuda Amanah negeri, Abbas Salimmi Azmi ketika membacakan kenyataan bersama berkata, label seperti “anti-Islam”, “anti-Melayu dan “pro-Yahudi” digunakan UMNO semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Akibatnya, pada hari ini kita melihat banyak situasi atau insiden yang berlaku dalam masyarakat dimana warna kulit dijadikan asas menghakimi orang lain.

“Malah, tidak ganjil untuk kita melihat kanak-kanak, seawal umur persekolahan lagi, sudah pun pandai ‘mengasah’ sikap perkauman sempit ini.

“Kami di Pakatan Harapan-Bersatu, khuatir jika amalan ini tidak dibendung, ia akan membiakkan gejala ekstremisme di negara kita,” katanya.

Abbas berkata, antara sentimen perkauman yang dimainkan UMNO adalah tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kononnya DAP akan mengambil alih negara jika Pakatan Harapan-Bersatu memenangi pilihan raya.

“Pemuda Pakatan Harapan-Bersatu Negeri Selangor menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak membangkitkan sentimen perkauman.

“Jauhilah unsur-unsur yang cuba menggunakan sentimen jahat ini sebagai alat untuk terus memecahbelahkan kita dan mengalihkan pandangan kita dari isu-isu utama negara seperti rasuah yang berleluasa dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Bagi menangani isu perkauman itu, Pakatan Harapan-Bersatu akan melakukan sesi dialog dengan anak muda, selain mengedar risalah dan mengadakan kempen melalui media sosial.

Selain Eric dan Abbas, sidang media itu turut disertai Ketua Pemuda PKR Selangor, Afzainizam Rahman dan Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah. – Roketkini.com