Berita

Rakyat persoal PERMATA demi ketelusan, kata DAP kepada Rosmah

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Tidak wujud istilah mempolitikkan isu Permata jika rakyat mempersoal pengurusan pentadbiran dan kewangan agensi itu.

Sebaliknya, ia hanyalah bagi memastikan ketelusan melibatkan dana awam yang datang dari wang cukai dibayar rakyat, kata Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor semalam bahawa mana-mana pihak tidak harus mempersoalkan Permata.

Malah, Rosmah mendakwa, persoalan itu sengaja dibangkitkan bagi mempolitikkan agensi berkenaan.

Menurut Bee Yin, kepentingan membangunkan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia tidak pernah dipersoal.

“Tapi, apa yang kita persoalkan adalah mengapa perlu ada satu agensi lain di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan isteri Perdana Menteri sebagai penaung?

“Mengapa isteri Perdana Menteri yang tak diundi oleh rakyat ini mempunyai peranan besar dalam kerajaan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bee Yin berkata Rosmah seolah-olah lupa bahawa dana awam yang disalurkan ke Permata itu datangnya dari rakyat yang kini bertungkus-lumus untuk menyara hidup.

Justeru, semua rakyat Malaysia berhak mempersoal dan meneliti bagaimana program Permata dijalankan.

“Adakah konsep ketelusan itu terlalu asing untuk beliau?

“Jika Rosmah tidak tahan dengan persoalan yang dilontarkan itu, saya cadangkan beliau letak jawatan sebagai penaung Permata,” ujarnya.

Jelas Bee Yin, pembangunan pendidikan kanak-kanak lebih sesuai diletakkan bawah tanggungjawab kementerian seperti yang dicadangkan sebelum ini memandangkan ia mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang tersebut.

“Jadi jika Rosmah benar-benar berharap yang terbaik buat kanak-kanak Malaysia, beliau patut biarkan pembangunan pendidikan awal kanak-kanak dikendalikan oleh kementerian,” tegasnya. – Roketkini.com