Berita

Siar secara langsung debat Mahathir-Nazri, gesa DAP

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak digesa menyiarkan secara langsung debat mengenai skandal 1MDB yang mempertemukan seorang menteri UMNO dan bekas bosnya dalam satu pentas yang sama.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, siaran langsung debat kedua-dua pemimpin itu perlu disiarkan secara langsung bagi membolehkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan terkini “ibu segala skandal kerajaan dalam sejarah negara” itu.

Katanya, ini kerana isu melibatkan syarikat pelaburan milik penuh negara itu tidak dibincangkan secara meluas, malah sering dihalang kerajaan untuk dibahaskan di Parlimen.

“Atas sebab ini saya mengalu-alukan perbahasan Mahathir-Nazri tentang 1MDB di Padang Rengas pada 23 Mac nanti.

“Kerana ia akan memecahkan tembok-tembok yang dikuatkuasakan untuk mengelakkan perdebatan yang sihat dan demokratik selain tuntutan rakyat terhadap akauntabiliti ke atas ibu segala skandal kerajaan dalam sejarah negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk debat antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang akan berlangsung pada Khamis depan di Padang Rengas. – Roketkini.com