Berita

Derita Imam masjid diserang angin ahmar dapat perhatian DAP Perak

TAIPING, 16 MAC: Kesulitan yang dihadapi Haji Nordin, 76, yang tinggal di Masjid Kampung Jalan Stesen dekat Kamunting mendapat perhatian Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang menziarahi rumahnya, semalam.

Haji Nordin yang merupakan seorang Imam diserang penyakit angin ahmar yang menyebabkan dia kini uzur dan penglihatannya terjejas.

Dalam kunjungan itu, Kor Ming menghulurkan bantuan kewangan secara peribadi bagi meringankan beban yang ditanggung Haji Nordin.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, pasukan khidmatnya sentiasa turun padang dan melawat kawasan setiap minggu, malah sentiasa bersedia untuk mendengar kesulitan rakyat dan mencari cara untuk membantu mereka.

“Perjuangan utama DAP adalah untuk mensejahterakan hidup rakyat dan menegakkan keadilan sosial tanpa mengira kira kaum mahupun agama, kerana DAP menganggap semua kaum dalam negara kita sebagai satu keluarga besar,” katanya.

Turut serta dalam kunjungan tersebut adalah ADUN Aulong, Leow Tyhe Yik, ADUN Pokok Assam, Teh Kok Lim, Ketua Amanah kawasan Taiping Mohd Saad Ismail serta pasukan khidmat DAP Taiping. – Roketkini.com