KUALA LUMPUR, 16 MAC: Adalah tidak wajar menggelar seseorang itu sebagai anti kepada mana-mana kaum atau agama hanya kerana berbeza pandangan mengenai sesuatu perkara, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Ini kerana, katanya, rakyat Malaysia yang bersikap patriotik dan menerima kemajmukan masyarakat di negara ini tidak akan sesekali menjadi individu yang anti kepada mana-mana kaum, agama, atau budaya.
“Seluruh rakyat Malaysia mesti berhenti berfikir bahawa mereka hanyalah orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban dan mula berfikir bahawa mereka juga adalah rakyat Malaysia.
“Mereka harus berhenti sewenang-wenangnya dan sesuka hati melemparkan tuduhan bahawa seseorang itu anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan, anti-Iban atau anti-Islam, anti-Kristian, anti-Buddha, anti-Hindu.
“Kerana setiap rakyat Malaysia harus meraikan dan menerima Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama, bahasa, budaya dan tamadun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, katanya, adalah tidak wajar jika sesetengah pihak digelar sebagai anti-Melayu atau anti-Islam hanya kerana tidak bersetuju atau berbeza pandangan tentang RUU355.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, sebelum ini teruk dihentam dengan gelaran anti-Melayu atau anti-Islam ekoran perbezaan pandangan dalam usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang itu.
Ekoran itu, Kit Siang dalam kenyataan sebelum ini mempersoalkan sama ada anggota Parlimen beragama Islam dari Sarawak yang menentang RUU 355 itu turut dianggap sebagai anti-Melayu atau anti-Islam.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg seperti dilaporkan media pada 16 Februari lalu berkata, akan mengulangi arahan ketua menteri terdahulu supaya 25 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak menolak usul berkenaan.
Menurut Abang Johari, RUU355 berkenaan jika diluluskan akan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat pelbagai etnik dan kepercayaan serta bercanggah dengan Perjanjian Malaysia 1963, yang mana mengisytiharkan Sarawak sebagai sebuah negara sekular. – Roketkini.com