Berita

PERMATA: Adakah Rosmah lebih layak dari pegawai kementerian?

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Pembantu isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor semalam menyatakan latar belakang pendidikan Datin Seri Rosmah Mansor melayakkannya menjadi penaung Permata.

Adakah itu bermakna tidak ada mana-mana penjawat awam dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang lebih layak dari Rosmah, soal Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin.

“Itu satu penghinaan besar kepada penjawat awam di Malaysia.

“Satu-satunya sebab Rosmah Mansor menjadi penaung Permata adalah kerana beliau isteri perdana menteri.

“Jika kita buka laman web Permata, jelas kelihatan yang ditonjolkan adalah Rosmah, bukannya kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bee Yin, yang menjadikan seseorang itu layak menjadi penaung Permata bukan sekadar kelulusan akademiknya, tetapi kepercayaan rakyat dan kredibiliti.

“Rosmah tidak dipilih oleh rakyat, malah, suaminya memimpin kerajaan minoriti yang hanya mendapat 48 peratus undi popular dalam pilihan raya lepas.

“Paling penting, susah untuk rakyat Malaysia percaya beliau benar-benar peduli tentang kepentingan kanak-kanak apabila melihat gaya hidupnya yang mewah, dengan beg tangan mahal dan percutian yang langsung tak selari dengan jumlah gaji diterima suaminya,” ujarnya.

Persoalan mengenai siapa yang layak menjadi penaung Permata, kata Bee Yin, tidak harus timbul sama sekali kerana sebuah agensi kerajaan tidak memerlukan penaung.

Jelasnya, negara-negara dengan program pembangunan pendidikan awal kanak-kanak terbaik dunia seperti Finland, Sweden dan Singapura juga tidak mempunyai penaung untuk program sebegitu.

“Sekali lagi saya menyatakan, pembangunan pendidikan awal kanak-kanak tidak harus diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Ia sepatutnya berada di bawah kementerian, memandangkan pegawai-pegawai kementerian lebih mempunyai kepakaran dan pengalaman,” tegasnya. – Roketkini.com