Berita

‘Derma’ untuk UMNO: Skandal balak Ketua Menteri Sabah kembali bergema di Parlimen

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Kerajaan negeri Sabah digesa menjawab dakwaan bahawa wujud penyelewengan wang konsesi balak dan pengubahan wang haram yang melibatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Memetik laporan Sarawak Report, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin berkata, Musa Aman disyaki mempunyai wang bernilai jutaan ringgit di luar negara dalam akaun Bank UBS yang berpangkalan di Switzerland.

“Siasatan dan bukti amat jelas bahawa wang simpanan dan pengeluaran mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Sabah.

“Kes ini mula terbongkar apabila Michael Chia Thien Foh ditangkap di Hong Kong atas tuduhan pengubahan wang haram di Hong Kong pada 2008 dengan jumlah wang sebanyak SG$16 Juta (RM40 Juta).

“Wang itu akhirnya dianggap sebagai derma kepada UMNO Sabah. Adakah teknik sama turut digunakan oleh Perdana Menteri satu ketika dulu?” soalnya dalam ucapan di Parlimen baru-baru ini.

Jimmy Wong yang juga Penasihat DAP Sabah turut menuntut Kementerian Kewangan menyiasat akaun bernombor UBS AG 2311117 dan Zurich N/A 21010109 yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan tersebut.

“Siapakah pemilik akaun itu? Ia kerana akaun ini mempunyai kaitan dengan pengubahan wang haram serta wang konsesi balak dan juga ketua menteri Sabah,” katanya.

Beliau mendesak agar kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung isu berkenaan memandangkan ia melibatkan kejujuran dan imej pemimpin kerajaan negeri.

“Rakyat ingin tahu apakah yang sedang berlaku dengan wang konsesi balak yang sepatutnya dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Taikun balak Sabah, Michael Chia dihukum setahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan pada 25 Februari 2014 selepas didapati bersalah melakukan skandal penipuan sebanyak RM2.5 juta.

Michael Chia yang sebelum ini didakwa mempunyai pertalian rapat dengan Musa Aman dijatuhkan hukuman kerana menipu Datuk Agus Hassan melibatkan wang RM2.5 juta berkaitan pembalakan pada 2004 dengan mendakwa bahawa ia adalah derma untuk UMNO. – Roketkini.com