Berita

Pasukan khas siasat isu kad pengenalan palsu di Sabah hanya wayang pilihanraya

KUALA LUMPUR, 17 MAC: DAP Sabah memandang sinis langkah terbaru kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat isu kad pengenalan (IC) palsu dan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt berkata, kerajaan UMNO-BN telah berjanji untuk menyelesaikan perkara tersebut dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, namun sehingga kini tidak menampakkan hasilnya.

“Walaupun sudah ada beberapa jawatankuasa teknikal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dan berjanji bahawa laporan akan diumumkan pada hujung tahun 2015, tapi sampai hari ini langsung tiada apa-apa perkembangan.

“Bukan sahaja tiada laporan dikeluarkan, malah tiada tindakan juga diambil. Ini macam main wayang berulang-ulang dan menunjukkan BN langsung tiada kemahuan politik untuk selesaikan masalah ini.

“Sedangkan pilihan raya sudah menjelang, drama yang sama akan dimainkan lagi untuk tipu rakyat Sabah dan tipu undi ketika pilihan raya,” katanya dalam ucapan di Parlimen, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam satu kenyataan bersama pada 9 Mac lalu mengumumkan bahawa satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kumpulan yang terlibat dalam sindiket pengeluar IC palsu di Sabah.

Dalam pada itu, Stephan Wong yang juga Pengerusi DAP Sabah mempersoalkan ketiadaan apa-apa tindakan susulan yang diambil kerajaan UMNO-BN bagi menyelesaikan masalah itu mengikut cadangan yang dikeluarkan RCI.

“Adakah ia sudah ditamatkan? Adakah kerajaan pandang serius terhadap laporan RCI?” soalnya.

Malah, baginya adalah memadai jika kerajaan UMNO-BN menggunakan cadangan RCI yang ditubuhkan pada 2012 itu untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Tak payah tubuh begitu banyak pasukan atau apa apa, tumpukan perhatian dan fokus kita kembali ke RCI yang sudah ada beberapa cadangan,” ujarnya. – Roketkini.com