Berita

Ribuan memohon jadi guru agama di Sarawak, kenapa perlu import dari Semenanjung?

KUALA LUMPUR, 15 MAC: PAS perlu faham bahawa isu membawa masuk guru agama Islam dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak yang dibangkitkan pembangkang baru-baru ini adalah demi menjaga kepentingan sosio-budaya Sarawak.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berkata, ia turut dipersetujui anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak kerana tidak ada seorang pun daripada mereka bangun membantah ketika isu itu dibawa ke Dewan Rakyat dalam ucapannya dua hari lalu.

“Malah, PAS perlu tahu bahawa ramai umat Islam di Sarawak yang lebih daripada mampu untuk mengajar agama Islam di sekolah-sekolah di Sarawak.

“Apabila Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengiklankan dua jawatan guru pada bulan Januari tahun ini, ia menerima lebih daripada 4,438 permohonan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk Kementerian Pendidikan mengambil 433 guru agama Islam dari negeri-negeri lain untuk mengajar di Sarawak sedangkan terdapat ramai guru tempatan yang berkelayakan bersedia untuk mengisi kekosongan itu.

“Justeru, untuk kali ketiga, saya menyeru kerajaan BN untuk menghentikan tindakan membawa masuk 433 guru agama Islam berkenaan ke Sarawak,” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Sarawak.

Pemuda PAS dalam satu kenyataan hari ini membidas Chieng Jen ekoran tindakannya menolak keputusan Kementerian Pendidikan itu dan menuduh DAP bermusuh dengan Islam. – Roketkini.com