Berita

Sebaris Perdana Menteri Sweden, Lim Guan Eng dilantik ahli lembaga Progressive Alliance

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik menjadi ahli lembaga Progressive Alliance (PA) sebaris dengan tiga pemimpin kerajaan lain, iaitu Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven, Perdana Menteri Portugal, Antonio Costa dan Canselor Austria, Christian Kern.

Turut dipilih menganggotai badan tertinggi PA adalah ketua perunding bagi pihak berkuasa Palestin, Dr. Nabil Shaath dan bekas presiden Parlimen Eropah, Martin Schulz.

Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY), Howard Lee yang juga merupakan ahli lembaga berkenaan.

Menurutnya, pelantikan Guan Eng adalah sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam rangkaian progresif seluruh dunia.

“Perkara itu diumumkan dalam Konvensyen PA yang berlangsung di Jerman pada 12 dan 13 Mac lepas.

“Ia dihadiri lebih 200 wakil, terdiri daripada tujuh ketua kerajaan dan lebih 30 bekas ketua kerajaan,” jelas Howard yang juga Adun Pasir Pinji itu dalam satu kenyataan.

PA merupakan rangkaian lebih 130 parti politik progresif dari 100 negara yang menyentuh isu masyarakat sivil, hak rakyat dan kaum pekerja, perdagangan antarabangsa, penyelesaian konflik dan urus tadbir yang baik. – Roketkini.com