Rencana

Sistem pendaftaran pengundi kita efisien? Pandainya SPR bergurau

Kenyataan terbaru Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah kononnya Malaysia masih belum bersedia untuk sistem pendaftaran pengundi secara automatik hanyalah satu alasan lapuk bagi menghalang mereka yang layak keluar mengundi.

“Ada perkara yang kadang-kadang kita rasa tidak begitu serius tapi diambil serius oleh pihak tertentu. Apatah lagi kalau kita buat sesuatu pembaharuan, kalau kita tak sedia dengan pembaharuan dan kita buat, maka banyak isu boleh timbul,” katanya.

Banyak parti politik termasuk DAP dan NGO seperti Bersih telah menggesa pendaftaran pengundi secara automatik sejak 2012. Lima tahun sudah berlalu, dan amat jelas bahawa SPR tidak peduli pun untuk meneliti kemungkinan dan hal-hal teknikal dalam melaksanakannya.

Malah, saya membayangkan proses itu tidaklah serumit mana. SPR boleh sahaja  bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), iaitu apabila seorang warganegara melepasi umur 21 tahun, dia secara automatik boleh dimasukkan ke daftar pemilih.

Lagipun, sistem pendaftaran secara automatik akan meningkatkan ketepatan daftar pemilih memandangkan pengundi akan didaftarkan mengikut alamat terkini.

Saya juga ingin mengingatkan Pengerusi SPR tentang betapa sukarnya agensi itu untuk bekerjasama dalam pengurusan pendaftaran pengundi.

Sejak 2013, SPR tidak lagi memperbaharui status Penolong Pegawai Pendaftar parti-parti politik, dan memaksa mereka untuk bergantung kepada pegawai SPR dalam pendaftaran. Beberapa syarat juga dikenakan – contohnya tidak lagi boleh diadakan di kawasan luar seperti pasar pagi/malam, pada waktu malam, dan lain-lain.

Jadi parti politik mematuhi syarat dengan menyediakan kaunter pendaftaran di kompleks membeli-belah pada hujung minggu. Semasa pendaftaran pula, walaupun telah berkali-kali diingatkan supaya membawa borang mencukupi, pegawai SPR tidak berbuat demikian.

Akhirnya, ratusan orang awam terpaksa beratur di kaunter-kaunter pendaftaran tanpa borang dan tidak boleh mendaftar. Adakah ini apa yang Pengerusi SPR katakan sebagai efisien?

Terbaru, pada 3 Mac lalu, berdasarkan kemaskini Facebook oleh Adun Kuala Kubu Baru, YB Lee Kee Hiong, ketua Pembangunan Kampung Kg Pasir Kerling dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan, Yusoff Stak serta rakannya di Ampang Pecah, Rihajuddin Anwarkhan @ Tajol telah meminta 1,000 borang dari pejabat SPR Selangor. Tetapi mereka hanya diberikan 100 borang seorang, iaitu 10 peratus daripada permintaan!

Daftar sekarang, putuskan kemudian

Sebagai anak muda, saya meminta semua rakan untuk mendaftar sebagai pengundi secepat mungkin. Saudara saudari mungkin tidak menyokong mana-mana parti. Saudara saudari mungkin jelik dengan politik, atau rasa bosan dengan kenyataan mengarut ahli politik, situasi ekonomi dan pasaran kerja, atau betapa susahnya untuk berkahwin dan membeli rumah pada hari ini.

Semua ini boleh berubah dengan mendaftar sebagai pengundi. Ambillah satu hari cuti, pergi ke pejabat pos terdekat dan daftarlah. Ia percuma dan hanya perlu dibuat sekali sahaja.

Janganlah kita hanya merungut di depan teh tarik kita. Jika saudara saudari tidak layak mengundi semasa PRU14 menjelma, semua rungutan itu, seperti apa yang dikatakan Shakespeare, “hingar dan penuh kemarahan, tetapi tidak menandakan apa-apa.” – Roketkini.com

* Lim Yi Wei merupakan pembantu khas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua. Beliau kini berkhidmat sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)