Berita

Pelan pembangunan KL lambat diwartakan punca harga rumah melambung

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Nilai hartanah di ibu kota tidak akan melonjak naik seperti sekarang jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kementerian berkaitan mewartakan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (DPBKL2020) lebih awal iaitu pada 2009.

Namun, ekoran kelewatan itu, pemaju yang tamak telah mengambil kesempatan atas keputusan DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan berkenaan dengan menaikkan harga rumah secara sewenang-wenangnya, kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

“Pembeli rumah hari ini terpaksa menanggung hutang yang tinggi, dan ramai warga muda tidak mampu membeli rumah hanya kerana tindakan kerajaan melewatkan pewartaan DPBKL2020 terbabit, atas sebab-sebab yang hanya diketahui pihak-pihak tertentu.

“Rumah-rumah di Kuala Lumpur (KL) pastinya akan mencatatkan harga yang sangat mahal pada tahun 2050 sekiranya DPBKL2020 digantikan dengan sebuah pelan baru bagi pembangunan sehingga 2050,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Bandar KL, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz pada Khamis bahawa DBKL tidak akan mewartakan DPSKL2020 sebaliknya akan mendraf pelan tindakan untuk pembangunan KL yang baru sehingga 2050.

Amin Nordin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor memberikan alasan bahawa pelan sedia ada tidak mengambil kira harga hartanah yang meningkat sejak draf awal pelan tersebut dibuat, dan ini kononnya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur berkata keputusan DBKL untuk tidak menggunapakai DPSKL2020 adalah merugikan wang pembayar cukai dan tenaga kepakaran yang terlibat dalam mendraf pelan pembangunan tersebut.

“Amin Nordin adalah salah satu watak utama dalam pasukan yang merangka DPSKL2020 yang mula diusahakan pada tahun 2007. Kenapa beliau tidak memaklumkan pihak kerajaan pada awalnya bahawa DPSKL2020 ini pasti akan gagal,” katanya.

Malah, menurut Lip Eng, satu-satunya alasan yang diberikan Amin Nordin untuk tidak mengguna pakai DPSKL2020 iaitu nilai hartanah yang tinggi menimbulkan keraguan.

“Saya mengesyaki wujud tangan-tangan ghaib yang dimiliki pemaju hartanah yang berkepentingan di sebalik langkah membakulsampahkan rancangan DPSKL2020 terbabit.

“Kerana satu-satunya alasan yang diberikan Amin Nordin dan Tengku Adnan untuk membatalkan pelan tersebut ialah nilai hartanah yang kian tinggi berbanding tahun 2007,” katanya.

Justeru, Lip Eng menuntut agar Tengku Adnan dan pegawai-pegawainya tingginya mengisytiharkan harta bagi membuktikan mereka tidak menerima wang daripada mana-mana pemaju dan mempunyai harta kekayaan yang setimpal dengan pendapatan. – Roketkini.com