Berita

Pakatan Harapan Sarawak ditubuhkan, tanda kerjasama hadapi PRU14

KUCHING, 19 MAC: DAP Sarawak, Amanah Sarawak dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak hari ini mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Menurut satu kenyataan, ketiga-tiga parti itu turut mencapai persetujuan bersama berhubung pembahagian kerusi, serta mungkin akan bertanding di semua 31 kerusi parlimen.

“Secara asasnya, DAP dan PKR akan bertanding di kerusi-kerusi yang telah diperuntukkan sebelum ini.

Manakala Amanah akan bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi PAS.

“Mungkin akan ada sedikit perubahan tapi ia akan dilaksanakan hanya jika mendapat persetujuan seluruh parti,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Pengerusi Amanah Sarawak, Fidzuan Zaidi dan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

Dalam pada itu, ketiga-tiga parti juga membentuk sebuah sekretariat yang dianggotai dua wakil daripada setiap parti.

Sekretariat tersebut akan bertanggungjawab menyelaras aktiviti dan kerjasama antara semua parti, serta merangka manifesto bersama Pakatan Harapan Sarawak untuk PRU14.

Pakatan Harapan Sarawak turut mengalu-alukan penyertaan parti-parti lain yang komited  dalam mengubah kerajaan sedia ada demi menyelamatkan Malaysia.  – Roketkini.com