Berita

Aktivis DAP Pensiangan pertaruh nyawa bantu masyarakat pedalaman Sabah

PENSIANGAN. 20 MAC: Walaupun terletak di  sempadan Malaysia – Indonesia, perhubungan untuk tiba ke Kampung Bantul, Nabawan bukanlah seperti yang boleh kita gambarkan dengan memiliki jalan darat bertar ataupun laluan tanah merah.

Di sebalik keindahan alam yang memukau, penduduk di sini harus bertaruh nyawa untuk berhubung dengan dunia luar, khususnya pekan kecil Pegalungan kerana terpaksa menempuh jeram maut (jeram Bakuon) di Sungai Longongon yang banyak mengorbankan nyawa sebelum ini.

Apa yang menyedihkan, janji Ahli Parlimen Pensiangan mewakili BN, Tan Sri Joseph Kurup untuk membina jalan darat menghubungkan kampung berkenaan sekadar janji kosong meskipun 20 tahun BN mewakili kawasan itu.

Kesukaran dan cabaran yang dilalui penduduk Kampung Bantul turut dilalui aktivis DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang dan pasukannya yang sering berulang-alik membantu penduduk di sini.

Baru-baru ini, Adrian dan pasukannya ke kampung berkenaan dalam misi membaiki sistem mikrohidro yang musnah akibat banjir lumpur pada penghujung 2015 lalu.

Akibat kerosakan itu, sebanyak 18 keluarga sekitar 250 penduduk suku kaum Murut yang tinggal dalam rumah panjang kampung berkenaan terputus bekalan elektrik.

Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah itu, sistem mikrohidro tersebut telah dibina olehnya pada 2005 ketika bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan telah beroperasi dengan baik sejak lebih 10 tahun lalu.

“Sistem ni antara projek pertama saya lakukan di Sabah pada 2005. Sudah lebih 10 tahun sistem itu beroperasi dengan baik sehingga hujung tahun 2015 bila berlaku banjir lumpur yang telah merosakkannya.

Team kami juga berjaya mengangkat turbin untuk diservis dan dibaiki sebelum di pasang kembali untuk menjana elektrik untuk rumah panjang komuniti Murut Tagol di sini,” katanya kepada Roketkini.

Jeram Bukuon katanya merupakan salah satu dari tiga buah jeram bahaya yang terpaksa diharungi penduduk pedalaman di sana jelasnya lagi.

“Jeram Bukuon ini telah membunuh banyak nyawa, sebab (bot) karam, dan kes terakhir berlaku tidak silap saya pada bulan Jun tahun lalu di mana satu rombongan dari Indonesia telah karam dan seorang telah terkorban.

“Ada jalan darat ke kampung tapi hanya jalan balak. Selepas pembalakan selesai, jalan tu tidak wujud lagi. Sudah jadi hutan. Motosikal, kenderaan pacuan empat roda pun tak boleh masuk juga sebab jalan putus kerana beberapa jambatan balak sebelum ini sudah runtuh,” katanya.

Pakar teknologi tenaga boleh diperbaharui

Adrian yang juga seorang pakar dalam bidang teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) selama lebih 20 tahun memiliki pengalaman luas dalam bidang tersebut di Malaysia dan telah memenangi beberapa anugerah peringkat Asean.

Pada tahun 2007, beliau mendapat anugerah Asean Energy Award dalam sistem mikrohidro berasaskan komuniti.

Ditanya bagaimana penerimaan masyarakat Pensiangan setelah aktif bersama DAP,  Adrian berkata penyertaannya disambut baik.

“Bila mereka tahu saya sertai DAP dan jadi penyelaras di sini, kita lihat mereka menyambut baik penyertaan saya itu. Saya sudahpun lama bergiat di sana dan mereka sudah mengenali saya.

“Mereka lihat ada orang yang berkebolehan yang mampu mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

“Mereka juga tahu bahawa saya juga banyak membina sistem paip graviti, elektrik, dan projek-projek telekomunikasi,” ujarnya lagi.

Adrian juga merupakan pengasas kepada sebuah pertubuhan Tobpinai Ninkokoton Koburuon Kampung (TONIBUNG) yang banyak memberi latihan kemahiran kepada belia pribumi dalam mengendalikan projek-projek tenaga boleh diperbaharui. – Roketkini.com