Berita

Diabaikan BN, DAP Keningau tampil selesaikan masalah perparitan penduduk

KENINGAU, 21 MAC: Akibat pengabaian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2012, penduduk Kampung Bandukan Baru dalam kawasan DUN Bingkor menghadapi masalah air bertakung dan jalan berbecak setiap kali musim hujan melanda.

Masalah ini sering menyebabkan penduduk mengalami kesukaran untuk bergerak, selain pemandangan persekitaran yang tidak selesa.

Peter Saili

Difahamkan, walaupun penduduk, melalui sebuah NGO pernah mengemukakan masalah tersebut kepada wakil rakyat Parlimen Keningau, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Adun Bingkor Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR), usaha itu tiada sebarang maklum balas positif.

Namun, segala masalah yang dihadapi itu selesai apabila DAP Keningau proaktif mengambil inisiatif menjalankan projek pembangunan infrastruktur perparitan melalui kerja-kerja pembinaan dua buah parit, masing-masing sepanjang 100 dan 250 meter.

Selain itu, DAP Keningau turut membina enam buah pembentung. Keseluruhan projek tersebut selesai dalam masa tiga hari pada 13 Mac lalu.

Menurut Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, pihaknya sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

“Kemudahan infrastruktur seperti sistem parit dan saliran perlu wujud di setiap kampung dan bukannya dibina di kampung-kampung tertentu sahaja.

“Bukan setakat Kampung Bandukan Baru saja yang menghadapi masalah seperti ini, bahkan ada banyak lagi kampung-kampung lain dalam DUN Bingkor menghadapi masalah serupa.

“Kita  harap pihak berwajib menangani isu-isu kekurangan kemudahan seperti ini,” katanya kepada Roketkini.