Berita

Insiden Kg Bobotong: ‘Rumah orang asal diroboh, setinggan PATI dibiar?’

KOTA KINABALU, 21 MAC: DAP Sabah mengecam keras dan menyifatkan tindakan Jabatan Perhutanan Sabah merobohkan rumah penduduk di Kampung Bobotong minggu lalu sebagai zalim dan tidak berhati perut.

Dalam insiden yang berlaku 17 Mac itu, sebanyak sebanyak 16 buah rumah penduduk Orang Asal dari etnik Dusun di Kampung Bobotong, Telupid telah dimusnahkan dengan alasan kononnya mereka telah menceroboh kawasan Hutan Simpan Sungai Pinanggoh.

Dr Edwin Bosi, Timbalan Pengerusi DAP Sabah

Tindakan Jabatan Perhutanan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan kerana berdasarkan rekod, penduduk di situ telah lama menduduki kawasan tersebut sebelum ia digazet sebagai tanah rizab hutan (Forest Management Unit 17B).

Pengerusi Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah, Dr Edwin Bosi berkata, tindakan perobohan itu jelas menunjukkan kerajaan BN Sabah mencabul slogan “rakyat didahulukan” yang diwar-warkan mereka selama ini.

“Saya tidak faham bagaimana kerajaan boleh begitu tidak berhati perut memusnahkan rumah penduduk asal yang dianggap haram tetapi boleh bertoleransi dengan setinggan haram yang biasanya diduduki oleh pendatangtanpa izin,” soalnya yang juga Adun Kepayan.

Beliau dalam nada menyindir mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sabah yang dilihat ‘berusaha keras’ mencapai sasaran 21 peratus atau 1.56 juta hektar status Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA).

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Sabah itu, Jabatan Perhutanan Sabah juga mahu mewujudkan 220,000 hektar hutan dilindungi yang baru dan kebanyakannya berada di kawasan tanah rendah bagi mencapai sasaran 24 peratus TPA dengan sasaran akhir untuk mencapai 30 peratus TPA (2.2 juta hektar) di Sabah.

“Saya harap kerajaan tidak cuba mencapai TPA yang diingini dengan mengusir penduduk kampung kononnya menduduki secara haram seperti dalam kes di kampung ini.

“Jika perkara ini benar, maka saya fikir kerajaan berlaku tidak adil kepada penduduk Orang Asal yang tinggal di sini lama sebelum FMU ditubuhkan dan oleh itu ia perlu dianggap sebagai Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR), kawasan ini wajar dikeluarkan dari FMU 17B,” ujar beliau.

Ekoran kejadian malang ini, Dr Edwin akan turun padang meninjau dan bertemu dengan penduduk yang terjejas dalam masa terdekat.

“Saya merayu kepada kerajaan supaya menghentikan tindakan perobohan rumah penduduk kampung ini sehingga ia dapat diselesaikan dengan baik dan tuntas,” katanya lagi. -Roketkini.com