Berita

Kerajaan potong peruntukan kesihatan, kini hospital tidak cukup katil

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Malaysia hari ini mengalami kekurangan katil hospital, dengan nisbah hanya sebanyak 1.99 per 1000 orang.

Bagi meningkatkan nisbah kepada 2.3 katil untuk 1000 orang, Menteri Kesihatan menyatakan negara ini memerlukan sebanyak 13,562 katil lagi menjelang 2030 dengan peruntukan sebanyak RM1.35 bilion setahun.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kampar, Dr. Ko Chung Sen berkata perkara itu mustahil dengan pemotongan peruntukan oleh kerajaan untuk pembinaan hospital baru, iaitu dari RM273.06 bilion pada 2016 kepada hanya RM177.2 bilion pada tahun ini.

“Kerajaan juga nampaknya lupa untuk mengambil kira jumlah penduduk yang sedang meningkat sebanyak 1.6 peratus setiap tahun. Ia bermakna akan ada tambahan sebanyak 480,000 individu setahun.

“Selain itu, harus diingat, ada banyak hospital lama yang perlu diubahsuai dan diganti dengan hospital baru,” katanya.

Peruntukan sebanyak RM177.2 bilion itu, jelasnya, mengalami kekurangan sebanyak 93.6 peratus dari jumlah yang diperlukan bagi menambah baik perkhidmatan hospital awam di negara ini.

“Jika keadaan ini berterusan, rakyat akan terpaksa beratur lebih lama di hospital-hospital kerajaan.

“Namun, andainya pembangkang memenangi pilihan raya akan datang, kita akan pastikan kesihatan rakyat menjadi isu terpenting dalam dasar kerajaan!” tegasnya. – Roketkini.com