Berita

PAS cuba timbulkan isu perkauman, gagal hormati hak dan kepentingan rakyat Sarawak

KUALA LUMPUR, 21 MAC: PAS tidak memahami situasi Sarawak dan gagal menghormati hak-hak negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata demikian bagi menjawab kenyataan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang menyelarnya kerana membantah tindakan kerajaan membawa 433 guru agama Islam dari Semenanjung ke Sarawak.

Terdapa dua sebab beliau membantah kemasukan itu. Pertama, adalah bagi mengekalkan keharmonian kaum yang dinikmati rakyat Sarawak hari ini.

Menurut Chieng Jen, terdapat perbezaan cara hidup, falsafah dan budaya antara Muslim di Semenanjung Malaysia dan Muslim di Sarawak.

Malah, beliau pernah memberi beberapa contoh perbezaan tersebut, iaitu:

  • Muslim Sarawak boleh makan semeja bersama orang bukan Islam, di mana Muslim mengambil makanan halal manakala bukan Islam memakan hidangan tidak halal
  • Di Sarawak, bangunan gereja boleh dibina di sebelah masjid. Sedangkan wujud Muslim di Semenanjung, terutama penyokong UMNO dan PAS membantah salib pada bangunan.
  • Orang Kristian boleh menggunakan kalimah Allah di Sarawak tetapi tidak dibenarkan di Semenanjung
  • Berbeza dengan Semenanjung, berus bulu babi langsung tidak menjadi isu di Sarawak

“Penyusupan ketaksuban agama dan ekstremisme ke Sarawak perlu dihindari kerana ia akan menyebabkan pengasingan dan ketidakharmonian kaum, seperti yang berlaku di Semenanjung sekarang,” ujarnya.

Sebab kedua, kata Ahli Parlimen Kuching itu, adalah untuk mengutamakan rakyat Sarawak dalam pemberian pekerjaan di negeri berkenaan.

“Ada ramai rakyat Muslim Sarawak yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dan layak menjadi guru agama. Mengapa mereka ini dipandang sebelah mata dan tidak diberi peluang?” soalnya.

Chieng Jen berkata, apabila Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengiklankan dua jawatan guru pada bulan Januari tahun ini, ia menerima lebih daripada 4,438 permohonan.

Jelasnya, dasar membawa masuk guru agama dari Semenanjung itu bercanggah dengan kepentingan rakyat Sarawak.

“Saya mengangkat isu ini semata-mata demi kepentingan rakyat Sarawak, bagi mengekalkan keharmonian yang kami nikmati hari ini.

“Tapi cubaan PAS untuk menukar isu ini menjadi Muslim lawan bukan Muslim hanyalah merugikan Sarawak. PAS, seperti rakan barunya UMNO, sentiasa cuba menimbulkan sentimen perkauman.

“Sebab itulah PAS tidak akan diterima di Sarawak,” ujarnya. – Roketkini.com