Berita

Fitnah seleweng dana Yawas, Adun DAP tampil dedah bukti lengkap

PETALING JAYA, 22 MAC: Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin hari ini tampil mendedahkan 12 fail setebal 60 cm yang berisi salinan lengkap dokumen Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang diselia pihaknya.

Katanya, ia sebagai menjawab fitnah yang dilemparkan Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos terhadapnya berhubung dakwaan penyalahgunaan dana yang dikendalikan Yayasan Warisan Anak Negeri Selangor (Yawas) itu.

“Saya telah melihat video itu (laporan polis Jamal) dan juga gambar sidang media Jamal Yunos semalam.

“Apa yang dia ditunjukkan di tangan dia (dalam gambar tersebut) adalah dokumen yang sebenarnya menunjukkan bahawa saya telah menghantar semua dokumen-dokumen berkenaan kepada Pejabat Tanah dan Daerah.

“Dokumen itu juga menunjukkan tarikh-tarikh yang mana menunjukkan saya telah mengagihkan dana dan juga menghantarnya dan pejabat tanah telah menerima dokumen-dokumen yang berkenaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos menunjukkan dokumen agihan SMUE

Dokumen berkenaan, menurut Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu, dilengkapi dengan resit yang ditandatangani penerima, salinan kad pengenalan penerima atau pewaris, dan salinan kad pengenalan beserta sijil kematian si mati.

“Saya hari ini tunjukkan kepada semua bahawa kita telus, kita terbuka, dan kita tidak ada apa-apa untuk disorokkan

“Bukan sahaja saya boleh menunjukkan akaun, saya juga boleh menunjukkan resit untuk setiap pembayaran yang kami buat,” katanya yang sebelum itu menunjukkan kepada pemberita satu contoh salinan lengkap dokumen SMUE.

Skim yang dikhaskan untuk warga tua berusia 60 tahun ke atas itu diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan Selangor bagi membantu waris dalam menguruskan kematian dengan sumbangan secara percuma sebanyak RM2,500.

Dalam pada itu, Bee Yin mempersoalkan sama ada Jamal berani untuk melakukan perkara yang sama dalam menuntut ketelusan kerajaan berhubung skandal melibatkan syarikat pelaburan milik penuh negara, 1MDB.

“Jika Jamal tidak (berani), ia bermakna dia adalah seorang yang double-standard,” ujarnya.

Turut serta dalam sidang media berkenaan adalah Pengerusi Wanita DAP Selangor, Hannah Yeoh. – Roketkini.com