Berita

Halau pengamal media, menteri takut jawab soalan wartawan?

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Alasan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menghalau pengamal media daripada menjalankan tugas di lobi Parlimen kononnya atas faktor keselamatan dipandang sinis seorang Adun DAP.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dalam kemas kini status di laman sosial, Facebook semalam berkata, faktor keselamatan tidak menjadi isu kerana wartawan dan jurugambar diberikan kad media selepas menjalani pemeriksaan keselamatan.

Justeru beliau berpandangan keputusan Pandikar itu adalah disebabkan oleh rasa tidak selesa menteri ketika disoal wartawan di luar pintu Parlimen.

“Nampak sepertinya menteri-menteri tidak selesa menghadap soalan dan penelitian (pengamal media) di luar pintu Parlimen.

“Berdasarkan rakaman video sesi soal jawab Gobind Singh (Ahli Parlimen Puchong) dua hari lalu, menteri seolah-olah tidak selesa menjawab soalan meskipun berada di dalam Parlimen.

“Sepatutnya menteri-menteri harus biasakan diri dengan penelitian awam,” katanya yang juga Naib Ketua Wanita DAP.

Hannah yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, menteri harus bersedia dengan jawapan terhadap soalan yang dibangkitkan tidak kira di luar atau di dalam Parlimen kerana gaji mereka didanai oleh wang pembayar cukai di negara ini.

Bermula semalam, pengamal media tidak lagi dibenarkan untuk berada di lobi Parlimen dan hanya dibenarkan untuk berada di bilik media di tingkat bawah Dewan Rakyat.

Pandikar berkata beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu sambil mengambarkan wartawan yang berkumpul dan berlegar-legar di luar pintu Parlimen sebagai ‘picnic’. – Roketkini.