Rencana

Annuar Musa nak tutup cela diri, main isu agama dan kaum

Seperti sudah tertulis di dalam ‘Standard Operation Procedure’ UMNO, memainkan isu kaum dan agama untuk mengalih perhatian, Anuar Musa pun melakukan gimik mengumumkan RM10,000 sebagai hadiah kepada sesiapa yang mampu menulis fitnah terbaik terhadap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Dalam usaha menutup celanya, Anuar Musa memilih untuk mengolah persepsi rakyat Malaysia bagi menghukum Lim Kit Siang. Tindakan Anuar Musa dan UMNO ini adalah amat keji kerana cuba mengapi-apikan sentimen perkauman dan ekstrimisme agama demi menutup masalah korupsi yang lebih membarah.

Jika Anuar Musa merasakan fitnah yang direkanya itu betul, saya mencabar Anuar Musa untuk membuat laporan polis terhadap Lim Kit Siang dan biarlah perkara ini dibawa di mahkamah. Supaya bolehlah Anuar Musa membawakan bukti-bukti , itupun kalau ada, di dalam mahkamah yang mulia dan biar undang-undang menentukan kebenarannya. Melalui mahkamah juga rakyat boleh melihat apakah yang menfitnah itu benar-benar mempunyai hujah yang kukuh atau sekadar bermain wayang lagi.

Tuduhan yang dilemparkan ke atas Lim Kit Siang adalah amat berat dan jika benar Lim Kit Siang itu sedemikian jahat, sudah pasti beliau sudah pun dikenakan hukuman mengikut undang-undang. Mengapakah sehingga kini UMNO tidak pernah mahu mendakwa Lim Kit Siang di mahkamah? Adakah khuatir tembelang fitnah UMNO pecah jika hal ini dibawa ke mahkamah sebagaimana lidah rasmi UMNO, akhbar UTUSAN seringkali tewas dalam kes-kes mahkamah?

Sejarah telah membuktikan bahawa jika ada peluang untuk menghumban dan mematikan karier politik tokoh pembangkang, UMNO BN tidak akan berfikir dua kali untuk melakukannya. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim sudah keluar masuk penjara dek kepentingan politik UMNO dan nafsu serakah pemimpin UMNO. Jadi, kenapa tidak kali ini, terhadap Lim Kit Siang?

Anuar Musa sedang berusaha keras menyelamatkan dirinya. Anuar Musa seakan terpaksa berusaha keras mengalih perhatian rakyat dari skandal MARA yang sedang dalam siasatan, dan tindakannya mengundur ketakutan dari bertanding merebut jawatan Presiden FAM selepas berbulan cuba tunjuk lagak ingin mencabar Tunku Ismail, Tengku Mahkota Johor. Atau Anuar Musa juga terdesak bagi membuktikan kemampuan beliau dalam UMNO selaku Ketua Penerangan?

Saya menyeru rakyat Malaysia agar jangan berjaya dialihkan perhatian daripada masalah korupsi dan kleptokrasi yang lebih parah sedang melanda negara ini. Barah korupsi yang akan merosakkan tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau mana-mana etnik di Malaysia.

*Edry Faizal merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor