Berita

DAP Johor ucap tahniah kepada TMJ terajui FAM

KUALA LUMPUR, 23 MAC: DAP Johor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017 – 2021.

Kemenangan ini berikutan saingan tunggal bagi jawatan utama tersebut, Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan penarikan diri daripada pertandingan yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, kejayaan DYAM Tunku disambut baik oleh seluruh Bangsa Johor dan juga diraikan seluruh rakyat Malaysia, khususnya peminat sukan bola sepak negara.

“Saya bagi pihak DAP Johor yang turut bergembira yakin kepimpinan baru FAM dapat menyuntik semangat yang segar untuk mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia sebagai salah satu kuasa bola sepak di rantau Asia.

“Kami juga yakin DYAM Tunku dapat membawa perubahan kepada FAM bagi membolehkannya berfungsi dengan lebih baik untuk kebaikan semua pihak, terutamanya para pemain, negeri dan kelab, serta para peminat bola sepak tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata, DYAM Tunku telah terbukti banyak memberikan sumbangan dalam memajukan dan meningkatkan prestasi bola sepak di Malaysia.

“Kini pasukan Johor Darul  Ta’zim menjadi satu wira bola sepak yang digeruni di seluruh Asia.

“Atas kesungguhan dan kegigihan inilah yang meyakinkan DAP Johor bahawa satu perubahan besar yang positif akan berjaya dibawa oleh DYAM Tunku selaku Presiden FAM yang baru,” ujarnya lagi. –Roketkini.com