Berita

Adakah perdana menteri arahkan Speaker sekat pemberita jalankan tugas?

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Adakah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia didesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melarang pemberita melakukan tugas di ruang legar Parlimen?

Persoalan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong susulan campur tangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tengku Sariffudin Tengku Ahmad dalam tugas pemberita seperti dirakamkan krew video Malaysiakini di Parlimen semalam.

Tengku Sariffudin dalam rakaman tersebut menasihati pemberita agar menerima keputusan yang ditetapkan Speaker.

“Kami tidak mahu kerana serangan hendap (media), di mana menteri atau anggota Parlimen, terperangkap dalam keadaan di mana terdapat maklumat yang salah dalam jawapan balas mereka (kepada soalan pemberita),” katanya dalam rakaman tersebut.

Bagaimanapun, menurut Chin Tong, ruang legar Parlimen secara tradisinya telah menjadi tempat untuk pemberita menunggu dan mendapatkan maklum balas pantas daripada anggota Parlimen dan Kabinet mengenai isu yang dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Temubual secara ‘door stop’ ini hanya memakan masa seminit dua, berbanding sidang media yang mengambil masa antara 15 minit dan setengah jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan Tengku Sariffudin yang dilihat seolah-olah berceramah mengenai peraturan yang harus diikuti pemberita dalam berurusan dengan perdana menteri dan timbalannya.

“Tidak cukupkah undang-undang sedia ada untuk mengawal media, sekarang pemberita terpaksa mendengar pula ‘nasihat’ Pejabat Perdana Menteri mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan Parlimen?” soal Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Beliau menggesa agar Pandikar Ali mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dewan Rakyat melibatkan semua parti dan mengadakan sesi pendengaran (town hall) melibatkan pemberita berhubung keputusan larangan tersebut.

“Saya percaya Pandikar perlu bangkit untuk menegaskan kepimpinan beliau dalam Parlimen, dan tidak tunduk kepada tekanan daripada pihak Eksekutif,” kata Chin Tong. – Roketkini.com