Berita

Anak muda DAP buat laporan polis terhadap Annuar Musa

PETALING JAYA, 24 MAC: Sekumpulan anak muda DAP hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa atas cubaan menjatuhkan reputasi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Annuar semalam mengumumkan ganjaran RM10,000 untuk esei yang membuktikan Kit Siang kononnya seorang yang anti-Melayu dan anti-Islam.

Wakil kumpulan itu, Jamaliah Jamaluddin berkata tindakan Annuar itu amat melampau. Malah, topik yang dipilih Annuar itu bukannya dibuat bagi kepentingan awam, tetapi hanyalah sekadar permainan politik yang jijik.

“Pada kami, ini satu kes yang sangat serius kerana beliau secara terang-terangan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melakukan perbuatan fitnah yang tidak bermoral.

“Sebelum menyerang parti DAP, kami ingin menasihati Annuar Musa agar semak terlebih dulu parti politik mana di Malaysia yang berasaskan kaum – Parti Tindakan Demokratik ataupun United Malays National Organization?” ujarnya semasa membacakan kenyataan bersama di Balai Polis Damansara, tadi.

Menurut ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, semakin ramai anak muda dari pelbagai latar belakang dan kaum menyertai DAP kerana sudah serik dengan pengkhianatan dan penyelewengan yang dilakukan BN.

Berbeza dengan BN, jelasnya, DAP memperjuangkan kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira kaum serta prinsip-prinsip hak asasi manusia, keadilan sosial dan ekonomi yang berasaskan sistem demokrasi berparlimen dan perlembagaan.

“Jadi, kami menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan keras terhadap Annuar Musa atas malafide (niat jahat) dan serangan berbaur perkauman beliau terhadap pemimpin dan parti kami.

“Kami sebagai anak-anak muda DAP akan terus berjuang melawan rasisme. Jika rasisme tidak boleh hilang dalam UMNO, kami harap UMNO boleh hilang di Malaysia,” tegas Jamaliah.

Seorang lagi ahli majlis MBPJ, Lim Yi Wei berkata kenyataan Annuar yang berbaur kebencian itu berbahaya kerana ia menjadikan Kit Siang sebagai kambing hitam bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap DAP.

“Tapi, tuduhannya itu langsung tak ada asas. Tindakan rasis sebegini hanyalah akan menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof pula menganggap perbuatan Annuar itu adalah bagi menutup celanya yang kini dalam siasatan kerana terlibat dalam skandal MARA.

“Jika betul Kit Siang itu jahat seperti yang difitnahnya, itu dah boleh dianggap membahayakan negara. Mengapa tidak selesaikan ikut jalan undang-undang?

“Tapi Annuar tentu tak berani kerana dia bukan ada bukti kukuh,” ujarnya. – Roketkini.com