Berita

Daripada Annuar Musa membazir, lebih baik bayar balik ‘hutang’ MARA – Tengku Zulpuri

MENTAKAB, 24 MAC: Daripada membazir, lebih baik Annuar Musa bayar semula wang MARA yang ‘hilang’ sebelum ini sindir Ketua Pembangkang DUN Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

“Tak payahlah bazirkan wang, lebih baik wang itu digunakan untuk bayar balik duit MARA yang hilang,” katanya.

Menurut Adun Mentakab itu, tindakan Ketua Penerangan UMNO tersebut menawarkan sejumlah wang dengan menganjurkan pertandingan esei untuk memburukkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang merupakan helah politik semata-mata.

“Jelas ini adalah helah untuk selamatkan diri. Dia (Annuar) alihkan isu sebenar kontroversi penyelewengan MARA dan perebutan kerusi FAM.

“Nampaknya tekanan yang dialami UMNO sudah masuk ke fasa baru. Mereka kelihatan amat terdesak dan sudah jadi macam budak-budak,” kata Naib Pengerusi DAP Pahang itu kepada Roketkini.

Annuar semalam mengumumkan hadiah sebanyak RM10,000 bagi esei untuk memburukkan Lim Kit Siang yang kononnya bersikap rasis.

Bagaimanapun, ganjaran itu telah dinaikkan kepada RM50,000 seperti yang diumumkannya sebentar tadi.

Annuar yang sebelum ini merupakan Pengerusi MARA telah digantung tugasnya pada Januari lalu ekoran kontroversi penajaan UniKL dan pelaburan MARA Berhad ke atas pasukan bola sepak Kelantan.

Malah dokumen melibatkan penyaluran wang tajaan Mara dan UniKL kepada pasukan Kelantan itu turut didedahkan oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Pada 2015, MARA turut dilanda kontroversi melibatkan pembelian hartanah di Australia, The Doudley International House oleh anak syarikat MARA yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Akibat urusniaga tersebut, MARA dilaporkan terlebih bayar sebanyak AUD5.35 juta atau RM15.47 juta.

Dalam perkara berkaitan, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli pula mendedahkan bahawa MARA telah terlebih bayar sebanyak RM129 juta bagi pembelian empat aset di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi dari nilai pasaran. –Roketkini.com