Berita

Empat tahun berlalu, manifesto ‘1 murid 1 komputer riba’ gagal ditunaikan UMNO

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Salah satu janji manifesto kerajaan UMNO Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu adalah untuk membekalkan setiap murid dengan komputer mudah alih, seperti laporan akhbar The Star pada 9 April 2013.

Pilihan Raya Umum ke-14 pula sudah semakin hampir, namun apakah status janji manis itu, soal Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Menurutnya, program yang diberi nama ‘1 Murid 1 Peranti’ itu telah dijanjikan akan bermula pada tahun 2014, namun hingga ke hari ini masih ramai murid yang tidak menikmatinya.

“Apabila saya mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai status program itu, jawapannya 116,399 unit Chromebook telah dibekalkan dengan kos RM248 juta.

“Jumlah itu jauh berbeza dengan bilangan murid di negara ini, iaitu lebih kurang 10 juta orang,” ujarnya dalam sesi perbahasan peringkat dasar RUU Perbekalan Tambahan (2016) di parlimen, tadi.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu turut mempersoalkan kos yang terpaksa ditanggung, iaitu kira-kira RM2,130 seunit.

Sedangkan, katanya, Chromebook boleh dibeli secara langsung dengan harga RM988 sehingga RM1,299 daripada syarikat pembuat asal.

“Selain itu, mengapa Chromebook tak dibeli terus daripada Samsung atau Acer tapi dibeli pula daripada YTL yang sudah mempunyai monopoli 1BestariNet bagi semua sekolah?

“Adakah tender terbuka dibuat bagi pembekalan Chromebook ini?” soalnya.

Zairil menjelaskan, beliau bersetuju bahawa kerajaan akan terpaksa menanggung kos yang amat tinggi jika harus membekalkan komputer mudah alih kepada 10 juta murid sekolah di negara ini.

Namun, katanya, kerajaan juga tidak harus membuat janji yang tidak dapat ditepati kerana kekangan peruntukan tersebut.

“Bagaimana rakyat mahu percaya janji kerajaan menjelang PRU14 jika manifesto PRU13 tak dapat ditunaikan?” ujarnya. – Roketkini.com