Berita

Hudud: DAP tegur berhemah, tak burukkan Islam

SEREMBAN, 27 MAC: DAP menegaskan bahawa pendiriannya berhubung hudud tidak berubah iaitu hukum berkenaan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti menggunakan hujah yang berhemah dan tidak pernah memburuk-burukkan hukum Islam itu untuk menakutkan kaum bukan Islam.

“MCA dan Gerakan pula cuba membentuk persepsi yang buruk terhadap hukum Islam dan mewujudkan perasaan Islamfobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia. Namun, DAP pula yang diserang oleh UMNO dan PAS sebagai anti-Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ia sebagai mengulas desakan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng supaya Anthony Loke memohon maaf kerana didakwa secara terbuka menyokong hudud dalam satu rakaman video yang tular baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata, keretakan hubungan DAP dan PAS berlaku kerana parti Islam itu melanggar dasar Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara bersama mengenai hudud

“Pendirian ini adalah sama semasa DAP bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat. Hudud juga bukan agenda dan tidak pernah dipersetujui sebagai dasar bersama Pakatan Rakyat,” katanya. – Roketkini.com