Berita

Kerajaan UMNO-BN gagal urus ekonomi, kenapa pula tuduh pembangkang?

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan diminta supaya tidak menutup kelemahan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam mengurus ekonomi negara dengan menuduh pihak pembangkang sebagai punca.

Ini kerana berdasarkan Laporan Bank Negara 2016 yang terbit pada 23 Mac lalu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, kadar pengangguran golongan belia adalah 10.7 peratus pada 2015 bersamaan lebih tiga kali ganda kadar pengangguran rakyat Malaysia iaitu 3.1 peratus.

Menurut laporan yang sama, katanya, kadar pengangguran golongan belia yang berpendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding pengangguran melibatkan belia yang tidak berpendidikan tinggi iaitu 9.8 peratus pada 2015.

“Walaupun tahap pendidikan tenaga kerja semakin tinggi, peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam ekonomi Malaysia masih tertumpu pada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

“Ini kerana industri domestik masih dalam aktiviti nilai ditambah yang rendah yang menekankan kecekapan kos dan tenaga kerja yang murah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dari segi pendapatan pula, jelasnya, 54 peratus daripada graduan mendapat pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan malah sebahagian besar gaji permulaan tidak berubah sejak 2007.

“Adakah ‘orang gila yang memegang kuasa’ seperti Rahman akan menuduh Laporan Bank Negara sebagai sabotaj ekonomi kerana mendedahkan kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi dalam mencipta pekerjaan, dan memastikan agar kita tidak akan melihat satu ‘generasi yang hilang’ pada masa depan?” soalnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Rahman Dahlan kononnya kritikan pihak pembangkang terhadap syarikat pelaburan bermasalah, 1MDB dan institusi kerajaan yang lain sebagai tindakan mensabotaj ekonomi.

Rahman Dahlan yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN dalam satu ceramah di Hulu Langat semalam menuduh pihak pembangkang membangkitkan mengenai masalah tersebut kononnya untuk memenuhi hasrat memenangi pilihan raya umum.

Dia seperti dilaporkan media sebelum ini juga pernah mencadangkan supaya tindakan mensabotaj ekonomi yang dimaksudkannya itu disiasat mengikut Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP mengalu-alukan Rahman Dahlan untuk berdebat mengenai kegagalan kerajaan UMNO-BN dalam mengurus ekonomi negara sehingga menjejaskan generasi akan datang.

“Masanya tiba untuk Rahman mengadakan debat yang bermaklumat serta sopan tentang ekonomi Malaysia, dan tidak menggunakan undang-undang MKN untuk mengugut serta menutup mulut pengkritik yang sah,” katanya. – Roketkini.com