Berita

Kg Bobotong: Warga emas hiba melihat rumahnya musnah

TELUPID, 27 MAC: “Lihatlah wajah pakcik ini, saya menitiskan air mata mendengar kisah dari dia. Rumahnya dirobohkan pegawai perhutanan sewaktu dia masih dikebun…”

Itu luahan Adrian Lasimbang, Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah ketika melakukan kunjungan ke Kg Bobotong, Tongod bersama Ketua Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah Dr Edwin Bosi dalam sesi dialog bersama penduduk baru-baru ini.

Menurut Adrian, insiden yang berlaku di Kg Bobotong ini merupakan akibat daripada isu Hak Tanah Adat (NCR) yang gagal diselesaikan sehingga ke hari ini.

Dr Edwin Bosi, Ketua Majlis Perundingan Orang Asal Sabah, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Adun Kepayan mengadakan dialog bersama penduduk yang terjejas.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Sam Mannan pula mendakwa penduduk ‘menolak tawaran’ untuk menduduki kawasan tersebut dengan enggan membayar Permit Pendudukan (OP) sejak tahun 2004.

Namun bagi penduduk kampung jelas Adrian, pengeluaran permit pendudukan dari Jabatan Perhutanan Sabah itu dilihat sebagai pemansuhan kepada tanah hak adat (NCR).

“Saya faham kenapa mereka (penduduk kampung) tidak berminat untuk bayar.

“Kenapa pula mesti nak minta kebenaran kalau mahu masuk rumah sendiri?” soal Adrian.

Dalam sesi dialog itu, wakil penduduk telah membentangkan fakta beserta kronologi kependudukan dan pembentukan Kampung Bobotong serta tuntutan mereka.

Pertemuan DAP Sabah bersama komuniti Kg Bobotong ini turut dihadiri oleh wakil dari parti UPKO, Felix Saang.

‘Kasihanilah orang kampung’

Dr Edwn Bosi, Adrian Lasimbang meninjau rumah penduduk yang dirobohkan.

Perobohan 16 buah rumah penduduk Kg Bobotong pada 16 Mac lalu telah menyebabkan kira-kira 60 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Seperti dilapor Roketkini sebelum ini, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak boleh bertindak melulu merobohkan rumah penduduk dengan mengetepikan hak asasi manusia.

“Apa juga status berkenaan tanah itu, termasuklah intrepetasi undang-undang oleh Sam Mannan dan Jabatan Perhutanan Sabah haruslah menghormati hak asasi manusia.

“Jabatan Perhutanan tidak boleh menganggap semua pribumi, Orang Asal di Sabah tahu di mana letaknya sempadan rizab hutan, ia tak pernah disukat betul-betul melainkan hanya kebelakangan ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sandakan.

Terdahulu, Ketua Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah Dr Edwin Bosi perobohan tersebut adalah tidak berhati perut dan membuktikan kerajaan telah gagal menepati slogan “rakyat didahulukan” yang diwar-warkan.

“Saya tidak faham bagaimana kerajaan boleh begitu tidak berhati perut memusnahkan rumah penduduk asal yang dianggap haram tetapi boleh bertoleransi dengan setinggan haram yang biasanya diduduki oleh pendatangtanpa izin,” soalnya yang juga Adun Kepayan.

Beliau juga mendesak supaya kawasan tersebut dikeluarkan dari rizab hutan simpan memandangkan ia telah wujud sebelum adanya Unit Pengurusan Hutan (FMU).  –Roketkini.com

Ikuti laporan insiden Kg Bobotong yang pernah disiarkan sebelum ini:

  1. https://www.roketkini.com/2017/03/21/insiden-kg-bobotong-rumah-orang-asal-diroboh-setinggan-pati-dibiar/ 
  2. https://www.roketkini.com/2017/03/24/insiden-kg-bobotong-jabatan-perhutanan-sabah-digesa-hormati-hak-tanah-pribumi-dap-sabah/
  3. https://www.roketkini.com/2017/03/27/penduduk-kg-bobotong-trauma-rumah-diroboh-pelawa-bos-jabatan-hutan-turun-padang/