Berita

Penduduk Kg. Bobotong trauma rumah diroboh, pelawa ‘bos’ jabatan hutan turun padang

TELUPID, 27 MAC: Pertikaian melibatkan operasi perobohan 16 rumah Orang Asal di Kg Bobotong bermula 16 Mac lalu masih belum selesai.

Ini kerana operasi perobohan akan diteruskan pada 30 Mac ini bagi mereka yang tidak mempunyai Permit Pendudukan (Occupation Permit-OP) dari agensi tersebut.

Apa yang mendukacitakan, Jabatan Perhutanan Sabah melalui sebuah notis yang ditampal di rumah menyatakan bahawa penduduk boleh dipenjara selama tiga tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 jika enggan keluar dari kawasan yang didakwa sebagai Hutan Simpan Sg. Pinangah.

‘Bos’ Jabatan Perhutanan Sabah, Sam Mannan dilihat cuba mewajarkan tindakan agensi yang diketuainya itu dengan mendakwa penduduk di situ sebagai ‘pendatang’ dan menceroboh sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.

Namun, segala dakwaan tersebut ditempelak oleh penduduk kampung sendiri dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Jimmy Iban, Timbalan Pengerusi JKKK Kg Bobotong

Menurut Jimmy Iban, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Bobotong, penduduk kampung berhak ke atas tanah yang diusahakan mereka selama ini berdasarkan fakta sejarah pembentukan kampung.

“Kami juga menafikan kenyataan Sam Manan bahawa kami adalah pendatang dan bukan orang Tongod. Bagi kami, kami adalah orang Tongod sejak dari dahulu dan tanah ini adalah tanah adat kami,” tegasnya.

Malah, merujuk kepada sejarah pembentukan Kg. Bobotong, kerajaan sendiri sebelum ini telah ‘mengiktiraf’ kewujudan kampung tersebut dengan mendirikan Balai Raya, bekalan air graviti, jalan, pemberian benih getah, tandas awam, gelanggang sukan dan sebagainya.

“Kami berhak ke atas tanah ini serta apa sahaja yang kami usahakan selama ini. Sejarah pembentukan kampung ini membuktikan bahawa kami adalah orang asal di sini.

“Semua yang berlaku pada masa ini adalah kerana proses adat yang sehingga kini kami dipertahankan dan diperakui oleh semua penduduk kampung,” katanya.

Ekoran operasi perobohan yang dilakukan minggu lalu, penduduk ujar Jimmy masih dalam keadaan trauma.

Beliau yang mewakili penduduk merayu supaya operasi tersebut dihentikan malah menjemput Sam Mannan turun padang bersemuka dengan penduduk yang teraniaya.

“Sekiranya Sam Manan benar-benar prihatin, beliau sepatutnya turun sendiri ke lapangan untuk melihat apa yang berlaku di Kg. Bobotong dan mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

“Perbincangan atau dialog secara aman tanpa menakutkan atau mengugut orang Kampung yang diadakan di antara penduduk Kg. Bobotong serta Kampung Entilibon Asal (kampung bersebelahan), Pejabat Daerah Tongod, SUHAKAM, Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Hutan sendiri dan jabatan-jabatan berkaitan untuk mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini,” katanya lagi. -Roketkini.com