Berita

DAP sokong penuh RUU kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibentangkan buat pertama kali oleh kerajaan Persekutuan di Parlimen hari ini mendapat sokongan penuh pihak pembangkang.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, tindakan itu membuktikan bahawa pihak pembangkang terbuka untuk menyokong sebarang usul kerajaan yang dirangka demi menjaga kepentingan rakyat.

“Ia sebenarnya bukan kali pertama kami (pihak pembangkang) menyokong RUU kerajaan.

“Apabila kerajaan membentangkan RUU untuk meminda Akta Kanak-Kanak 2001, kami secara sebulat suara sokong, walaupun pada pandangan kami, banyak penambahbaikan yang boleh lagi dibuat dalam RUU tersebut,” katanya kepada Roketkini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP, melahirkan kekesalan berikutan tindakan kerajaan yang tidak melibatkan pihak pembangkang dalam proses menggubal RUU tersebut.

“Kami sebenarnya sudah lama berkempen untuk RUU ini dibawa ke Parlimen. Akan tetapi, kerajaan langsung tidak menjemput kami semasa persediaan RUU ini. Itu yang mengecewakan,” ujarnya.

RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

Ia jika diluluskan, akan menetapkan hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda maksimum RM20,000 dan paling kurang enam sebatan bagi pelbagai kesalahan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Ia melibatkan tujuh perkara termasuk bahan lucah melibatkan kanak-kanak, dandanan seksual kanak-kanak (child grooming), serangan seksual fizikal dan bukan fizikal, hukuman terhadap penjaga amanah (seperti ahli keluarga dan guru) yang terlibat atau bersubahat dan penekanan terhadap keterangan saksi kanak-kanak.

Azalina, dalam sidang media yang turut disertai ahli Parlimen pembangkang berkata akan terdapat beberapa pindaan melibatkan beberapa seksyen kanun keseksaan dan mahkamah khas akan diwujudkan

“(Mahkamah dan pindaan) akan membantu pelaksanaan dan aplikasi undang-undang ini. Diharapkan kes akan dapat diselesaikan dengan cepat dan tidak lagi ditangguh sehingga bertahun,” katanya. – Roketkini.com